Mukhriz Cabar Majlis Belia Negeri Kedah Kemuka Klausa

Mukhriz (kanan)
ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mencabar Majlis Belia Negeri (MBN) Kedah supaya mengemukakan klausa di dalam perlembagaan pertubuhan itu yang mengatakan pemimpinnya perlu meletak jawatan jika tidak memihak kepada parti pemerintah.

Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setahunya tidak ada pun klausa yang menuntut pemimpin MBN Kedah untuk berbuat demikian.

"Tunjuk pada saya klausa dalam perlembagaan MBM jika seseorang itu aktif politik yang tidak memihak pada parti pemerintah, adakah dia boleh diambil tindakan disiplin.

"Seingat saya tiada, sebelum ini pun pimpinan MBM dianggotai wakil yang sokong parti lawan," katanya, memetik laporan sebuah portal berita, semalam.

Sebelum ini , MBN Kedah mendesak Presidennya, Mohd Aizad Roslan, supaya segera meletak jawatan ekoran perlantikannya sebagai Timbalan Ketua Armada PPBM yang didakwa bertentangan dengan semangat perlembagaan pertubuhan itu.

MBN Kedah menegaskan bahawa kepimpinan pertubuhan itu perlu memberi sokongan kepada parti pemerintah bagi memenuhi tujuan sebenar penubuhan pertubuhan berkenaan bagi membawa suara generasi muda ke peringkat yang lebih tinggi.

Jelas MBN Kedah, pertubuhan itu tidak memberi sokongan membuta-tuli kepada pihak kerajaan, sebaliknya menyuarakan teguran secara membina bagi membina suasana positif yang membawa kebaikan kepada kedua belah pihak.

Difahamkan bahawa pertubuhan tersebut turut menerima suntikan dana dari pihak kerajaan setiap tahun bagi menjalankan aktiviti dan program yang berfaedah bagi kepentingan golongan belia di negeri ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com