Mufti Perlis Pun Kata BR1M Bukan Rasuah


KANGAR – Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut berpendapat bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bukan berunsur rasuah, malah rakyat tidak perlu mempersoal status halal atau haramnya.

Beliau berkata masyarakat perlu jelas tentang makna rasuah yang bermaksud sesuatu pemberian berupa wang atau barangan daripada individu kepada seseorang yang lain bagi mendapat suatu ganjaran untuk kepentingan pemberi.

“Dalam soal bantuan BR1M, pihak yang memberi itu tidak pula menyatakan mereka mahu sesuatu ganjaran atau timbal balik daripada penerima, sebaliknya memaklumkan ia merupakan pemberian berupa bantuan.

“Malah bantuan itu diberi khusus bagi meringankan beban penerima, jadi konsep berkenaan bukanlah satu rasuah,” katanya pada kuliah mingguannya di Masjid Alwi di sini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukakan jemaah.

Mohd Asri berkata seseorang penerima sumbangan tidak wajar bertanyakan pihak pemberi tentang sumber wang berkenaan.

“Sebagai contoh, seseorang peniaga bertanya pembeli daripada mana wang yang digunakannya untuk membayar barang yang dijual kepadanya dan adakah wang itu halal atau haram.

“Sebagai penerima mereka boleh menerima wang daripada seseorang sama ada atas urusan jual-beli, pemberian bantuan atau sedekah tanpa perlu mencari asal usul daripada mana wang itu diperolehi,” katanya.

Beliau turut memberi contoh Nabi Muhammad SAW juga pernah menerima sumbangan wang daripada pemimpin Yahudi dan tidak bertanya dari mana sumber pemberian itu diambil. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com