Misi Food Flotilla For Myanmar Ditunda Sehingga 31 Jan


PETALING JAYA – Misi Food Flotilla for Myanmar anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang dijadualkan berlepas pada 10 Jan ini ditunda sehingga 31 Jan atas urusan diplomatik.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata penundaan tersebut dilakukan bagi menghormati perundangan dan kedaulatan kerajaan Myanmar untuk memberikan kelulusan kepada misi ini.

“Perjuangan kita adalah perjuangan kemanusiaan semata-mata, memberikan bantuan kepada Myanmar khususnya masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.

“Kita sangat berharap agar kerajaan Myanmar dapat memberikan kelulusan kepada misi ini. Sekiranya masih tiada kelulusan sehingga 31 Januari, kita akan teruskan misi dan menuju ke Teknaf, Bangladesh, bagi memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya dari Maungdaw,” katanya pada sidang media misi tersebut di sini semalam.

Menurut Abdul Azeez, KP1M sebelum ini pernah menghantar bantuan kemanusiaan ke Sittwe pada tahun 2012 dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Myanmar dan pasukan tentera mereka.

Katanya masalah urusan diplomatik yang timbul pada ketika ini merupakan salah faham kerajaan Myanmar yang mendakwa penganjur misi tidak menghantar permohonan melalui kerajaan Malaysia.

“Sebenarnya, kita telah menghantar permohonan kepada kerajaan Myanmar pada 12 Dis lalu melalui Wisma Putra. Namun sehingga hari ini, kita masih belum mendapat apa-apa keputusan,” jelasnya.

Abdul Azeez juga berkata 14 negara, antaranya Belanda, Perancis, Arab Saudi, Indonesia, United Kingdom dan Turki, telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Misi Food Flotilla for Myanmar.

Misi yang dijangka memakan masa selama 20 hari ini akan disertai 235 delegasi terdiri daripada sukarelawan tempatan dan antarabangsa serta petugas-petugas media. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com