AddThis

Mayat Pencandat Sotong Ditemui Di Pulau Songsong


ALOR SETAR - Mayat pencandat sotong yang hilang di laut pada Ahad lalu ditemui terapung berdekatan Pulau Songsong, Yan, dekat sini, pada 8.30 pagi semalam, kira-kira 19 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah.

Bapa mentua mangsa, Zakaria Yunus, 48, ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berkata dia reda menerima berita kematian Shukri Abd Rashid, 30, itu.

"Saya hilang menantu, tetapi ALLAH SWT gantikan dengan cucu baharu. Rencana Allah itu kita kena terima," katanya, merujuk kepada anak perempuannya Hamidah, yang baru tiga hari lepas melahirkan anak lelaki ketiganya.

Zakaria berkata memandangkan emosi Hamidah, 25, masih belum stabil, dia akan membawa pulang anaknya itu dan dua lagi cucunya ke rumahnya di Taman Nilam, Langkawi.

"Lagipun dia masih berpantang dan di sini tiada siapa yang dapat menjaganya.

Jadi, ada baiknya saya membawanya pulang ke Langkawi kerana di sana ramai yang boleh menjaganya serta cucu-cucu saya itu," katanya.  

Beliau berkata jenazah menantunya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kedah sebaik saja selesai urusan bedah siasat.

Sementara itu Hamidah yang turut berada di Unit Forensik berjanji akan menjaga amanah arwah suaminya itu dengan baik.

"Saya masih cuba menerima hakikat ini manakala anak-anak akan saya jaga dengan baik. Mungkin selepas ini saya akan pulang ke Langkawi dan tinggal di sana," katanya.

Dalam pada itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Rohana Omar mengesahkan penemuan mayat itu.

Shukri dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas apabila mangsa gagal dihubungi rakannya sekitar jam 2.30 pagi selepas keluar mencandat sotong di perairan Kuala Kedah kira-kira 11 malam Sabtu. – Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com