Masyitah Masih Terima Rawatan Di Hospital Sultanah Bahiyah


ALOR SETAR - Seorang daripada lima beradik yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Alor Punti, Pendang Disember lalu, masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pengarah HSB, Dr Zaitun Udin berkata, Masyitah Mohd Padzil, 12, belum dibenarkan pulang ke rumah kerana perlu menjalani suatu pembedahan di paha kanannya.

Menurutnya, setakat ini, pihak hospital sedang menunggu stok implan yang dijangka tiba dalam tempoh seminggu hingga dua minggu lagi.

"Sebelum ini berlaku pendarahan di bahagian kepala Masyitah akibat kemalangan terbabit, namun ia telah pulih.

“Sekarang dia masih dalam pemerhatian kami sementara menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan, “katanya.

Sementara itu, empat lagi adik beradik Masyitah telah dibenarkan pulang ke rumah, namun belum memulakan sesi persekolahan mereka.

Ibu saudara, Ruslina Rashid, 48, berkata, keempat-empat beradik terbabit diberi cuti oleh pihak hospital dan kini dijaga oleh ibu saudara arwah ibu mereka yang datang dari Kuala Lumpur.

“Sekarang mereka berada di rumah arwah ibu bapa mereka di Taman Derga Perdana, dan saya akan ke sana untuk menggantikan ibu saudara mereka yang dijangka pulang ke Kuala Lumpur, malam ini (kelmarin),” katanya.

Bercerita mengenai perkembangan lima beradik terbabit, Ruslina berkata, sehingga semalam, Muhammad Akmal masih belum diberitahu mengenai kematian ibu bapa mereka dalam nahas terbabit.

“Ingatan Akmal masih belum pulih sepenuhnya, sehinggakan saya sendiri pun dia tidak kenal.

"Malah dia tidak pernah bertanyakan tentang ibu bapanya.

“Dia juga kerap menangis dan mengadu sakit kesan daripada pembedahan yang dijalaninya.

"Sekejap dia bangun, sekejap dia duduk seakan-akan tidak selesa,” katanya.

Sebelum ini, pasangan suami isteri, Mohd Padzil Rashid, 50, dan isterinya, Masmiwaza Mohd Noor,42, maut selepas MPV Perodua Alza dinaiki mereka terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah treler di Kampung Alor Punti, Pendang, 17 Disember lalu.

Arwah sekeluarga dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Setia, Pendang setelah menghadiri majlis perkahwinan sepupunya di Padang Perahu.

Lima anak mereka yang terlibat dalam nahas tersebut iaitu, Maisarah, 14, Masyitah, 12; pasangan kembar iaitu Muhammad Asyraf dan Muhammad Akmal, 11; dan Munirah, 7, turut cedera parah dalam kejadian yang menyayat hati itu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com