Masih Ramai Terpedaya Skim Penipuan Kewangan


KUALA LUMPUR – Masih ramai rakyat di negara ini percaya dan terpedaya dengan skim penipuan kewangan meskipun pelbagai maklumat serta modus operandi terbabit didedahkan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan jumlah kes penipuan kewangan termasuk melibatkan kad kredit palsu meningkat lebih 50 peratus pada 2016.

“Daripada jumlah ini, penipuan yang berlaku menerusi telefon mencatat peratusan tertinggi, sebanyak 70 peratus iaitu lebih daripada dua kali ganda dari tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Kewangan 2017 anjuran BNM dengan kerjasama beberapa institusi kewangan di sini semalam.

Beliau berkata, tahap celik kewangan dan keupayaan pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat yang dititikberatkan oleh kerajaan menjadi antara strategi utama dalam khidmat nasihat dan pendidikan kewangan.

“Antara inisiatif terkini adalah melalui penubuhan Jaringan Pendidikan Kewangan pada November 2016 untuk menyelaras dan memacu strategi pendidikan kewangan di peringkat kebangsaan.

“Usaha ini menggembleng kerjasama yang lebih erat antara agensi berkaitan seperti BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit demi menyelaraskan inisiatif celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain itu Johari mahu amalan kepenggunaan terus diperkukuhkan memandangkan ia mampu memastikan para penyedia kewangan sentiasa memberi perhatian kepada kepentingan dan hak pengguna.

“Pengguna yang mempunyai asas ilmu kepenggunaan yang mantap akan dapat mempertahankan haknya jika penyedia perkhidmatan kewangan memeterai perjanjian yang tidak adil atau berat sebelah,” katanya.

Karnival Kewangan 2017 bertemakan Utamakan Keperluan Kewangan Anda berlangsung tiga hari bermula hari ini turut melibatkan penyampaian anugerah kepada institusi kewangan.

Antara anugerah itu ialah Anugerah Rangkuman Kewangan Terbaik yang dirangkul Bank Simpanan Nasional, Anugerah Inovasi Terbaik kepada Malayan Banking Bhd dan Anugerah Terbaik dalam Usaha Menyokong Pendidikan Kewangan diberikan kepada Prudential Assurance Malaysia Bhd. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com