Makin Jauh Tinggalkan Dunia, Makin Dekat Menuju Ajal


“BETULKAN pemikiran! Anda sebenarnya bukan melangkah masuk ke tahun baharu, tetapi semakin jauh meninggalkan dunia dan semakin dekat menuju mati.”

Itu antara petikan khutbah saya di Masjid Ibnu Sina, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 30 Disember lalu atau Jumaat terakhir 2016. 

Itulah sudut pandang yang sepatutnya ada bagi setiap Muslim apabila menjelang tahun baharu hijrah atau masihi. Ingatan kepada mati bakal menjadikan manusia lebih insaf dan cemas. Kedua-dua rasa sebegini mampu menghalang virus ‘tak sedar diri’ daripada menjangkiti sesetengah orang tua sebagaimana disebut Rasulullah SAW:
“Anak Adam semakin tua, tetapi dua perkara padanya bertambah muda, kehendak pada harta dan kehendak untuk umur panjang.” - Sahih Muslim, Sunan Tirmizi.
Setiap hari apabila bangkit daripada tidur, usia kita semakin pendek. Usia kita sudah ditetapkan angkanya, cuma kita sahaja yang tidak mengetahuinya. Ia dijelaskan dalam sabda SAW:
“Sesungguhnya setiap kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari, kemudian ia menjadi segumpal darah selama itu juga (40 hari), kemudian ia menjadi seketul daging selama itu juga (40 hari), kemudian dihantar kepadanya malaikat lalu diarahkan agar menulis empat perkara. Lalu dikatakan kepada malaikat itu: Tuliskan perihal amalannya, kadar rezekinya, ajalnya dan sama ada dia menjadi orang yang celaka (sebagai ahli neraka) atau bahagia (sebagai ahli syurga). Kemudian ditiup padanya roh,” - Sahih Bukhari, Sunan Abu Dawud, Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Ahmad.
Jika dalam takdir Allah (semenjak azali) usia kita menumpang di dunia hanya sekadar 22, 995 hari atau 63 tahun, maka pada pagi ini angkanya semakin berkurang. Jika hidup dan usia kita seperti bateri yang digunapakai seumur hidup, maka kuasanya pasti semakin menurun setiap hari. Inilah juga yang disinggung Allah dalam firman-Nya:
“Dan (hendaklah diingatkan bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? Kita bangkit akan menunjukkan kekurangan hari demi hari,” (Yasin [36:68]).
Oleh itu, setiap Muslim yang cerdik lagi bijaksana perlu muhasabah terhadap usia yang saban hari meninggalkannya dan menyediakan bekal hari akhirat sebanyak mungkin, sebagaimana firman Allah:
“Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah setiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (daripada amalannya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan,” (al-Hasyr [59:18]).

Sumber: ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ/Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com