Mahathir Sebenarnya Takut Dengan Pengaruh PAS - Dr. Zuhdi


SHAH ALAM - Pusat Penyelidikan PAS (PPP) menyifatkan kenyataan Pengerusi Parti PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak memerlukan PAS dalam blok pembangkang menunjukkan 'ketakutan' pihaknya sendiri.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Mahathir sememangnya sengaja mengeluarkan kenyataan ini, tetapi bukan kerana ianya memandang rendah terhadap PAS, sebaliknya beliau bimbang dengan pengaruh PAS.

"Kenyataan seperti ini adalah sebahagian daripada strategi politik beliau.

"Mahathir adalah seorang diktator politik, dan atas sifat itulah beliau berkonfrontasi dengan semua Perdana Menteri yang berada di atasnya daripada Tunku Abdul Rahman sehingga Perdana Menteri sekarang. Kalaupun boleh dikecualikan ialah di zaman Tun Abdul Razak," katanya dalam satu kenyataan medianya semalam.

Zuhdi berkata demikian, bagi mengulas kenyataan Mahathir di sebuah portal yang mendakwa bekas Perdana Menteri itu berkata PAS tidak diperlukan.

Katanya lagi, Mahathir yang dikenali sebagai sifat diktator politik inilah yang telah menyebabkan beliau bertindak mencantas semua pimpinan UMNO dan Timbalan Perdana Menteri yang menggugat kedudukannya, daripada Tengku Razaliegh sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Malah beliau juga pimpinan politik yang berani menyanggah Raja-raja Melayu.

"Sekarang beliau berada bersama blok pembangkang, dan dengan sifat diktator politik ini, beliau mahu kesemua parti dan pimpinan pembangkang untuk tunduk kepada gerakan politiknya. Sekarang beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai ketua kepada PPBM, PKR, DAP dan PAN," katanya lagi.

Oleh itu katanya, yang boleh menggugat sikap diktator Mahathir dalam  blok pembangkang ialah PAS, kerana PAS adalah sebuah parti politik yang paling besar selepas UMNO.

Katanya lagi, sebab itulah, Mahathir sangat tidak mengalu-alukan PAS, meskipun Muhyiddin Yassin amat mengharapkan hubungan itu.

"Pendirian PAS pula konsisten dalam isu mendaulatkan Syariah Islam dan mempertahankan hak orang Melayu, yang begitu bertentangan dengan strategi Mahathir. Faktor ini juga menjadi faktor tambahan mengapa Mahathir tidak mengalu-alukan hubungan dengan PAS," katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

  1. Hahahaha.... Geli hati baca statement Zuhdi ni....

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com