Lapan Beranak Hidup Dhaif Di Kampung Sungai Kechil Ilir

Keluarga Nooredi hidup dalam keadaan serba kekurangan
BANDAR BAHARU - Sebuah keluarga lapan beranak yang tinggal menumpang dalam sebuah rumah usang milik saudara di Kampung Sungai Kechil Ilir, di sini, begitu daif dan memerlukan kediaman sendiri.

Ibu bapa kepada enam anak ini, Nooredi Basir, 46 dan Mahani Ismail, 44, mengalami masalah mental serta tidak mampu bekerja.

Malah, anak sulung berusia 21 tahun turut mengalami masalah sama sejak dua tahun lalu.

Adik kepada Nooredi, Khairul Abidah Basir, 34, berkata, abangnya itu mengalami masalah mental sejak kecil dan perlu bergantung pada ubat, namun penyakitnya itu semakin teruk sejak 10 tahun lalu.

“Kira-kira 10 tahun lalu abang masih boleh bekerja, dia bawa lori. Tapi sejak sakitnya selalu serang, dia terpaksa berhenti kerja.

"Ibu jaga dia dan isterinya ketika itu. Tapi sejak ibu meninggal, mereka enam beranak tinggal di sini untuk berteduh dan berlindung. Dua anak abang tinggal dengan saya untuk beri mereka pelajaran,” katanya hiba mengenangkan keadaan abangnya itu.

Kata Khairul Abidah, Nooredi hanya bekerja sambilan mengutip sayur dan ulam di hutan untuk dijual di pekan, manakala isterinya mengambil upah kopek ikan bilis.

“Memang mereka tak ada pendapatan tetap. Abang kutip pucuk-pucuk kayu, jual pun kadang ada kadang tak ada. Kakak ipar pula kopek ikan bilis dua hari sekali, dapatlah RM15. Itu pun ikut keadaan kesihatan dan abang juga ada dapat bantuan zakat RM500 sebulan,” katanya.

Khairul Abidah berkata, paling menggusarkannya apabila memikirkan tempat berteduh keluarga abangnya itu yang masih menumpang di tanah saudara-mara.

“Kami adik beradik ada juga tolong buat rumah untuk abang sekeluarga, tapi masih banyak tak siap. Kalau ada duit lebih, baru boleh buat. Sebelum ini abang sekeluarga pernah juga diminta cari rumah lain kerana tuan tanah mahu jual tanah mereka.

“Abang ada mohon beberapa kali untuk dapatkan rumah, namun sehingga kini tak ada maklum balas. Ini yang saya gusarkan, di mana nanti abang sekeluarga nak tinggal? Anak-anak pun ada yang masih kecil dan sakit juga. Saya harap ada pihak dapat menghulurkan bantuan untuk segerakan pembinaan rumah abang," katanya.

Selain itu, Khairul Abidah turut meminta pihak terlibat agar dapat memberi khidmat kaunseling kepada anak sulung pasangan itu yang tiba-tiba mengalami masalah tekanan jiwa.

“Saya harap sangat anak sulung abang kembali sihat dan boleh membantu meringankan beban keluarga. Kami pernah banyak kali pujuk pergi ke klinik dan cakap nak bawa pergi jalan-jalan, namun dia tak mahu keluar rumah, malah penjagaan diri juga tak terurus.

“Anak kelima berusia 13 tahun telah lama berhenti sekolah kerana tidak tahan dengan ejekan kawan-kawan. Dialah dok tolong emak dia kopek ikan bilis. Saya harap ada orang atau mana-mana pihak dapat bantu beri kaunseling untuk pulihkan kembali semangat anak-anak ini,” katanya.

Kisah keluarga daif ini turut viral di Facebook dan melalui status terbaharu, ada pihak tampil menghulurkan sumbangan.

Bagi orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan, boleh menghubungi Khairul Abidah di talian 012-2424825.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com