Kren Tumbang Di Manjung: Hanya 1 Cedera, TNB Nafi Cerita Netizen


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki cedera selepas sebuah kren tumbang menghempap sebuah lori di tapak projek syarikat janakuasa milik Tenaga Nasional Berhad (TNB), Manjung 5 Sdn Bhd, Manjung, Perak semalam.

TNB dalam kenyataannya berkata dalam kejadian pukul 11.10 pagi itu, mangsa yang berada dalam lori hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mangsa cedera selepas melompat keluar dari lori dan terjatuh ke dalam longkang. Dia telah mendapatkan rawatan di hospital,” kata TNB sambil menafikan dakwaan di laman sosial kononnya dua maut dan lima cedera dalam kejadian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan awal mendapati pengendali kren tidak menggunakan besi pengimbang semasa menjalankan kerja mengangkat beban yang menyebabkan kren tersebut berada dalam keadaan tidak stabil.

“Kerja pembinaan di kawasan itu adalah di bawah selenggaraan kontraktor yang dilantik. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” kata TNB sambil menjelaskan kejadian itu dilaporkan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Perak.

Gambar kren tumbang yang menghempap lori itu menjadi tular di laman sosial semalam. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com