Kita Tak Dapat Janjikan "Bulan Dan Bintang", Tapi... - Tan Cheng Hoe


ALOR SETAR - Skuad Kedah yang  menyandang kejuaraan TM Piala Malaysia musim lalu tidak menjanjikan "bulan dan bintang", namun akan cuba melakukan yang terbaik bagi tidak menghampakan seluruh peminat Hijau Kuning pada musim ini.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe perkembangan terkini skuad kebanggaan negeri itu adalah sangat baik dan beliau mengharapkan mampu melahirkan sesuatu yang lebih positif.

"Kita pada musim ini tidak boleh cakap kita janji 'bulan dan bintang', tapi sudah tentu kita akan berikan yang terbaik.

"Pemain pun sehingga kini kita lihat memang sangat komited dalam training (latihan) dan match (perlawanan).

"So yang penting, saya harap satu keputusan yang positif untuk pasukan kita," katanya yang tidak menolak untuk memberi saingan sengit kepada pasukan terkuat yang juga merupakan Juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

Kata beliau, JDT bukan mudah untuk ditewaskan berdasarkan prestasi konsisten pasukan itu yang berjaya melakukan "hatrik" menjuarai Liga Super untuk tiga kali berturut-turut, namun ia bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Jelasnya lagi, adalah amat sukar bagi mana-mana pasukan untuk menewaskan JDT di Stadium Larkin yang merupakan kubu kuat pasukan Harimau Selatan itu.

"Kita tahu pasukan JDT untuk 2-3 tahun yang lepas memang bukan mudah untuk bermain di Stadium Larkin yang menjadi kubu kuat mereka dan kita kena pergi ke sana dengan pemikiran positif," ujar beliau kepada Kedahnews.com.

Mengulas mengenai perkembangan para pemain skuad Helang Merah, Tan sedang meneliti beberapa calon pemain import yang kental untuk barisan pertahanan ekoran kritikan peminat terhadap pemain import pertahanan sebelum ini.

"Cuma sekarang saya bimbang pemain import di bahagian pertahanan sajalah yang agak dalam dua hingga tiga musim ini peminat tak puas (hati) dari segi pertahanan.

"So, kita perlu dapatkan seorang pemain pertahanan yang baik bagi kesan baik untuk pasukan, itu saja," katanya yang memaklumkan dua pemain import Korea yang diuji sebelum ini tidak dapat meneruskan aksi bersama pasukan bimbingannya.

Namun begitu, beliau sedikit lega melihat keserasian para pemain jersi Hijau Kuning yang menunjukkan peningkatan demi peningkatan pada siri perlawanan pra-musim yang sedang berlangsung, khususnya para pemain muda.

"Amat bagus untuk melihat pemain-pemain muda tunjukkan satu prestasi yang baik untuk membantu pasukan.

"Ia menunjukkan satu persaingan yang sihat di kalangan pemain," katanya yang positif dengan persediaan skuad Helang Merah menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijangka bermula pada 18 Januari ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com