Kedah Catat Peningkatan Kes Demam Denggi


ALOR SETAR – Kedah mencatat peningkatan 9.2 peratus kes demam denggi atau 95 kes bagi tempoh 1 Jan hingga 21 Jan lepas berbanding 87 kes yang direkodkan bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail bagaimanapun berkata setakat ini tiada kes kematian dicatatkan.

Katanya, terdapat tujuh daerah yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu Kulim (34 kes berbanding lapan kes), Langkawi (tujuh kes berbanding tiada kes) dan Padang Terap (empat kes berbanding satu kes).

Daerah lain ialah Kubang Pasu (sembilan kes berbanding empat kes), Bandar Baharu (empat kes berbanding dua kes), Sik (tiga kes berbanding tiada kes) dan Pendang dengan satu kes berbanding tiada kes tahun lepas, katanya.

“Empat daerah yang menunjukkan penurunan kes ialah Baling dengan lapan kes berbanding 24 kes, Kota Setar (tiga kes berbanding 12 kes), Kuala Muda (22 kes berbanding 35 kes) dan tiada kes direkodkan di Yan berbanding satu kes tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata terdapat lima lokaliti wabak denggi yang masih aktif di Taman Sungai Kob, Kulim; Pekan Serdang, Bandar Baharu; Kampung Padang Lalang, Langkawi; Taman Ria Jaya Zon 1 dan Taman Bandar Baharu III, Kuala Muda yang masih dalam keadaan terkawal dan dijangka tamat dalam masa terdekat.

Dr Norhizan berkata dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 32,211 premis dan mendapati terdapat 703 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

“Kami mengeluarkan 395 kompaun berjumlah RM197,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan 140 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 32,094 premis di seluruh Kedah dan 7,034 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

“Peningkatan kes demam denggi berlaku apabila aktiviti pemusnahan tempat pembiakan tidak dilakukan dengan sempurna. Usaha yang lebih perlu dilaksanakan agar statistik kes dan kematian akibat denggi dapat dikurangkan berbanding tahun 2016.

“Masyarakat setempat perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, jabatan kesihatan serta semua jabatan terlibat dalam usaha memusnahkan tempat pembiakan aedes bagi mengatasi kes denggi di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com