Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Pagi Ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra dengan sebahagian mangsa banjir ketika melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong di Kuala Terengganu, Sabtu. Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu pagi Ahad meningkat sedikit kepada 1,460 orang daripada 331 keluarga berbanding 1,275 orang merangkumi 305 keluarga pada Sabtu malam.

Peningkatan itu dicatat di daerah Kuala Terengganu yang merekodkan 1,362 orang daripada 304 keluarga berbanding 1,169 orang daripada 274 keluarga pada Sabtu malam.

Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Infobanjir, Dungun mencatatkan penurunan dengan hanya 78 mangsa (20 keluarga) masih berada di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Metangau berbanding 89 orang daripada 23 keluarga, Sabtu malam.

Di Marang pula, jumlah terkini mangsa yang ditempatkan di SK Pasir Putih menurun kepada 21 mangsa merangkumi tujuh keluarga selepas empat orang daripada sebuah keluarga dibenar pulang ke rumah mereka. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com