Jumlah Mangsa Banjir Di Kelantan Kian Meningkat


KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan kembali meningkat kepada 1,213 orang daripada 329 keluarga setakat pukul 8 malam berbanding 944 orang daripada 263 keluarga pada 4 petang Ahad.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata setakat ini terdapat 511 mangsa daripada 135 keluarga di Kuala Krai, 348 mangsa (94 keluarga) di Jeli, 254 mangsa (76 keluarga) di Tanah Merah, 57 mangsa (13 keluarga) di Machang dan 43 mangsa (11 keluarga) di Pasir Mas.

"Kesemua mangsa ditempatkan di 26 pusat pemindahan banjir di lima jajahan itu," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata jumlah itu dijangka meningkat lewat malam ini terutama di Pasir Mas dan Tumpat selepas air sungai dari hulu sampai ke jajahan berkenaan ketika ini.

Sementara itu, menurut laman sesawang kerajaan negeri, ebanjir.kelantan.gov.my, tiga sungai utama di Kelantan terus menunjukkan penurunan paras air pada pukul 8 malam ini berbanding 4 petang.

Sungai Galas di Dabong turun kepada 34.33 meter (m) berbanding 35.10m petang tadi. Paras bahaya bagi sungai itu adalah 38m.

Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 30.74m berbanding 31.26m (paras amaran 35m) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pula pada paras 24.06m berbanding 24.43m (paras amaran 25m).

Bagaimanapun, air Sungai Golok di Rantau Panjang terus meningkat ke paras 9.58m berbanding 9.41m, melepasi paras amaran 9m.

Setakat ini juga tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com