AddThis

JPJ Perlis Saman 10,341 Pemandu Sepanjang 2016


KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyaman 10,341 pemandu kerana melakukan pelbagai kesalahan hasil daripada 24 operasi dijalankan sepanjang tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Sabry Ahmad daripada jumlah itu, sebanyak 4,705 kes (45.49 peratus) tiada cukai jalan dan insurans manakala 2,895 (27.99 peratus) memandu tanpa memiliki lesen.

“Operasi dilakukan bertujuan mengurangkan kemalangan dan mendidik pemandu membudayakan pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya,” katanya kepada pemberita bersempena ‘Ops Jalan Tahun Baharu’ di Seriab di sini, malam semalam.

Sabry berkata JPJ turut menyaman 173 kenderaan Thailand dan menyita 28 kenderaan klon sepanjang tahun lepas.

Mengenai kemalangan, beliau berkata Perlis mencatatkan 1,035 kes kemalangan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lepas yang mengorbankan 36 nyawa.

Dalam Ops Jalan Tahun Baharu selama empat jam bermula 8 malam itu, sebanyak 103 pemandu disaman manakala tiga penunggang motosikal yang dikesan positif syabu ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang turut menyertai operasi itu. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com