AddThis

Jemputan Kedua Belum Pasti, Hargailah Peluang Pertama...

Gambar Hiasan
SATU perkhabaran yang menggembirakan apabila kerajaan Arab Saudi dilaporkan meluluskan cadangan menarik balik pengurangan kuota haji sejak tahun 2013. Diharapkan laporan itu menjadi kenyataan.

Pengurangan kuota adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembesaran Masjidilharam yang akan memberi keselesaan dan peluang lebih ramai jemaah dari seluruh dunia menunaikan haji. Pada masa yang sama, diharapkan hasrat Malaysia untuk mendapatkan kuota tambahan akan diberi kelulusan.

Sasaran Lembaga Tabung Haji adalah untuk menambah bilangan sehingga 30,000 jemaah berdasarkan 0.1 peratus daripada keseluruhan 30 juta penduduk. Ketika ini kuota Malaysia adalah 22,320 orang. Berdasarkan tempoh menunggu yang ada serta usia bakal jemaah yang semakin meningkat, adalah wajar kuota tambahan diperoleh.

Kita percaya hubungan baik antara kerajaan serta rekod cemerlang Tabung Haji akan memudahkan permohonan kuota itu. Sama-sama kita mendoakan yang terbaik. Di samping itu, semua pihak perlu mempertahankan nama baik institusi yang me­ngendalikan jemaah haji ini. Hentikan segala tohmahan.

Syukurlah walaupun ada cubaan untuk memburukkan imej Tabung Haji, institusi itu terus mencatat jumlah penyimpan yang sema­kin bertambah dengan simpanan yang lebih besar.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom sebelum ini, kerajaan amat sensitif menjaga Tabung Haji. Urus niaga oleh institusi itu berada dalam pengetahuan kerajaan.

Sebagai konglomerat milik orang Islam, kita tidak mahu ada pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat terutama para penyimpannya dengan menabur ‘racun’ yang boleh melemahkan institusi itu.

Sebelum ini, ada pihak yang mendakwa institusi itu mengalami kerugian sehingga boleh menyebabkan muflis.

Akibatnya ada pencarum yang ‘protes’ dan hilang kepercayaan terhadap institusi itu serta menarik diri sebagai pendeposit. Berbalik kepada kuota, Tabung Haji diharap dapat melihat semula penilaian yang dibuat ketika memilih jemaah.

Adakah giliran pendaftaran - siapa daftar dulu dapat awal - mampu memberi peluang yang adil kepada pendeposit yang sudah lama menyimpan dan usianya semakin melepasi setengah abad?

Selak pernah menyelak isu menunggu giliran ini pada tahun 2012 bertajuk Haji: Kelonggaran melangkaui giliran masih perlu diberi perhatian dan Keresahan bakal jemaah menghadapi isu kekangan kuota haji. Kelewatan mendaftar bukan bermakna sengaja mahu melewatkan niat untuk menunaikan haji sebaliknya disebabkan sikap sambil lewa, wang tidak mencukupi dan ‘kesilapan’ lain.

Bayangkan jika yang baharu mendaftar itu berusia 51 tahun pada 2012, beliau terpaksa menunggu sehingga umurnya mencecah 84 tahun pada tahun 2045. Faktor umur juga perlu diberi keutamaan kerana ia juga berkait rapat dengan kesihatan seseorang.

Ini antara isu yang perlu diperhalusi semula bagi memberi peluang kepada kumpulan yang sudah meningkat usianya tetapi lewat mendaftar. Sesudah berikhtiar, selebihnya terletak kepada rezeki atau ‘seru’ seseorang. Jika belum rezeki, buatlah apa pun, hasrat tidak akan tertunai.

Berikutan pertambahan kuota nanti (semoga dimakbulkan), Tabung Haji perlu bersedia me­ningkatkan subsidi untuk jemaah.

Setiap tahun, kos menunaikan haji meningkat disebabkan kenaikan kos penginapan, pe­ngangkutan, makan-minum dan lain-lain perkhidmatan. Pada musim haji 1437 Hijrah (H)/2016, subsidi mencecah RM18,890 seorang dan secara keseluruhan, melebih RM160 juta.

Sejak tahun 2009, bayaran haji pula tidak sampai RM10,000 iaitu RM9,980 bagi seorang jemaah haji muassasah. Entah kenapa, kos itu tidak digenapkan kepada RM10,000. Begitu pemurahnya Tabung Haji dan kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, Jamil Khir memberi jaminan bahawa Tabung Haji akan mengekalkan kos RM9,980 bagi setiap jemaah walaupun kos sebenar RM19,550. Setiap jemaah akan mendapat subsidi RM9,570, iaitu kurang RM410 kos yang ditanggung jemaah.

Ini bermakna hampir 100 peratus kos tambahan dibiayai Tabung Haji. Berikutan itu, jumlah subsidi akan meningkat kepada lebih RM200 juta. Justeru, hargailah perjalanan mengerjakan haji ini. Jangan sia-siakan peluang seumur hidup ini.

Difahamkan, surat tawaran kepada 22,320 orang sudah dikeluarkan. Kepada bakal jemaah, hadirilah kursus ibadah haji. Di Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, kursus diadakan setiap Sabtu, mulai 14 Januari ini. Luangkan sedikit masa mendalami ilmu ini

Jangan tercari-cari guru untuk kursus selepas mendapat surat jemputan berikutan ‘kuota tambahan’ ini. Hargai peluang pertama kerana yang kedua belum pasti tiba. Berkaitan perkara ini, semalam, semasa Kuliah Dhuha Mingguan berkaitan haji di Masjid Putra Nilai, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Moha­mad Al Bakri menjelaskan serba sedikit mengenai pelaksanaan dan perbuatan yang perlu dilakukan.

Beliau menasihatkan supaya belajar kaedah untuk menunaikan haji serta menyelesaikan beberapa perkara sebelum menunaikan haji. Fahami dengan baik kaedah ibadah itu kerana peluang itu mungkin sekali seumur hidup dan jika berlaku untuk kali kedua, ianya sebagai bonus.

Pesannya, janganlah bercakap mengenai haji itu mengikut kitab tetapi ikutlah realiti. Nasihatnya, jagalah sensitiviti orang lain di dalam kumpulan jemaah. Jus­teru belajarlah supaya ibadah tidak sia-sia atau kurang di sana sini sekali pun perkara-perkara sunat termasuk doa dan solat.

Hargai peluang keemasan ini lebih-le­bih lagi warga emas. Difahamkan penerbangan pertama pada 24 Julai manakala penerbang­an terakhir pada 25 Ogos. Hari wukuf dijangkakan pada 31 Ogos.

Penerbangan pertama pulang ke tanah air selepas ibadah haji ialah pada 7 September dan penerbangan terakhir pada 4 Oktober 2017. Mungkinkah pilihan raya umum akan berlangsung dalam tempoh ini?

Sumber: HASSAN MOHD. NOOR/Utusan

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com