Jalan Kampung Di Mukim Gajah Mati Makin Terhakis

Jalan di Kampung Apil ini semakin terhakis sekali gus boleh membahayakan keselamatan orang ramai.
POKOK SENA - Keadaan jalan di Kampung Apil, Mukim Gajah Mati, dekat sini, dikatakan semakin terhakis dan hujan lebat yang kerap berlaku sekarang dikhuatiri boleh memburukkan lagi keadaan.

Penduduk, Romlah Cha, 66, berkata, masalah itu berpunca daripada air dari bukit berdekatan yang mengalir dengan deras sehingga menyebabkan beberapa tebing jalan di kampung itu semakin terhakis.

Katanya, selepas berlaku hakisan jalan, penduduk terpaksa bergotong-royong untuk melaksanakan kerja baik pulih bagi mengelakkan risiko kemalangan dan terputus hubungan.

“Penduduk terpaksa menambak tanah bagi mengatasi masalah itu, tetapi hujan lebat baru-baru ini membawa semua tanah tersebut, sekali gus menyebabkan hakisan berulang.

“Kita bimbang orang luar akan cemas ketika melalui jalan itu terutama pada waktu malam. Walaupun belum ada kemalangan berlaku, tetapi kita harap masalah itu dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Menurut Romlah, hakisan itu turut mengakibatkan kenderaan berat tidak boleh melalui di jalan itu bagi mengangkut buah-buahan atau getah untuk dibawa ke kilang.

Justeru katanya, penduduk berharap pihak bertanggungjawab dapat meninjau masalah itu dan mengambil tindakan secepat mungkin.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Apil, Rosli Shaari berkata, masalah itu sudah dimaklumkan kepada Pejabat Daerah Pokok Sena.

Katanya, pejabat daerah sudah menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih jalan itu dengan melaksanakan kerja menurap pada tahun lalu.

“Teknik itu tidak berkesan kerana jalan itu perlu dibaiki dengan meletak batu sangkar. Tidak sesuai untuk diturap tar kerana dikhuatiri akan terhakis lagi.

"Ini menyebabkan kerja baik pulih tertangguh dan mungkin akan dibaiki pada tahun ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com