AddThis

Isu Joe Digugurkan: “Biar Kami Selesaikan Dulu” – Awie


VOKALIS Wings iaitu Awie enggan mengulas berkaitan kemelut yang melanda kumpulan legenda itu sehingga timbul khabar angin menyatakan pemain gitar utamanya, Joe bakal digugurkan.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 48, berkata, perkara tersebut merupakan masalah dalaman kumpulan berkenaan dan ia dalam proses untuk diselesaikan.

“Buat masa ini saya tidak mahu komen apa-apa tentang perkara itu kerana ia adalah masalah dalaman kumpulan Wings.

“Biarlah kami selesaikannya secara baik terlebih dahulu, kemudian kami akan jelaskan kepada media,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Rabu.

Awie diminta mengulas dakwaan mengenai Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 48, disingkirkan selepas dikhabarkan menjadi punca Wings terpaksa membatalkan konsert mereka di Kota Kinabalu, Sabah.


Terdahulu, Konsert Wings 30 tahun ‘Live’ @ Kota Kinabalu yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas pada 24 Disember lalu ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sementara itu, Awie berkata, dia tidak mahu memanjangkan perkara berkenaan dengan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Jika saya buat kenyataan ia akan memanjangkan perkara ini dan dituduh bawa cerita pula. Biarlah kami selesaikan dahulu ya,” ujarnya Awie penuh berhemah yang menggambarkan dia benar-benar sayangkan kumpulan itu.

Sementara itu, usaha mendapatkan kenyataan daripada Joe berkaitan isu ini sejak dua hari lalu masih gagal apabila dia memberi alasan sedang sibuk seolah-olah mengelak untuk ditemu bual.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com