Ismail Sabri Arah Mara Tangguh Tajaan Kecuali Pendidikan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan surat tawaran kemasukkan ke Maktab Rendah Sains Mara Alor Gajah kepada Aliah Maisarah Md Akir di kediamannya Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jelatek, Jumaat. Turut kelihatan bapanya Md Akir Jaidin (dua,kanan) dan ibunya Paizun Mat Jari (tengah).
KUALA LUMPUR - Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) supaya berhenti memberi tajaan kepada mana-mana pihak buat sementara waktu.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Pelaburan Mara Berhad juga diarahkan untuk hanya mempertimbangkan tajaan berkaitan pendidikan.

"Untuk 2017 saya sudah arahkan UniKL dan Pelaburan Mara untuk tak berikan tajaan selain pendidikan.

"Kalau di UniKL hanya tajaan berkaitan pendidikan sahaja, itu saya benarkan," katanya kepada pemberita, Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) telah menggunakan dana dua anak syarikat Mara itu untuk menaja pasukan The Red Warriors (TRW) pada 2016.

Bagaimanapun, Annuar ketika membalas dakwaan itu menjelaskan, logo Mara 50 Tahun pada jersi TRW diberikan secara percuma kepada agensi berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Ismail Sabri berkata setakat ini beliau belum menerima sebarang laporan berhubung perkara ini.

"Saya akan dapatkan laporan lebih terperinci daripada UniKL dan Pelaburan Mara sebab saya pun tak tahu tentang perkara ini.

"Untuk sementara waktu ini saya kata tangguh dulu sebarang penajaan biar saya tengok dan teliti dulu," katanya.

Terdahulu Ismail Sabri telah menyerahkan surat tawaran kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara kepada pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Aliah Maisarah Md Akir yang mendapat 6A tahun lalu, di rumah keluarganya di Projek Perumahan Rakyat Jelatek di sini.

Aliah Maisarah merupakan anak kepada pasangan cacat penglihatan Md Akir Jaidin, 50 yang juga kakitangan Kumpulan Media Star dan Paizun Mat Jari, 50 yang bekerja sebagai operator telefon Perkeso.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com