Impian Mustaqim Jadi Penyanyi Berkubur

Mustaqim tetap tabah walaupun sering diejek.
YAN - Impian seorang pemuda untuk bergelar penyanyi semakin berkubur apabila berat badan dimilikinya hampir mencecah 300 kilogram.

Mohd Mustaqim Abd Talib, 30, kini tidak lagi mampu bergerak pantas atau bekerja seperti kebiasaan.

Menurutnya, dulu dia pernah menyertai pelbagai uji bakat nyanyian seperti Akademi Fantasia (AF) pada 2009, Bintang RTM dan juga Vokal Bukan Sekadar Rupa pada 2010.

"Ketika uji bakat AF, saya berjaya hingga ke peringkat ketiga, namun gagal kerana tidak berupaya untuk menari.

"Selepas gagal ceburkan diri dalam bidang nyanyian, saya pulang semula ke Kedah dan bekerja di kilang kayu pada 2014. Kemudian saya terpaksa berhenti selepas tak lagi mampu bekerja.

"Selepas berhenti kerja kilang, saya berniaga burger dan terpaksa ditutup kerana tapak niaga diambil semula oleh pemiliknya," katanya.

Mustaqim berkata, sejak dua bulan kebelakangan ini, dia tidak mampu untuk berjalan dan hanya duduk di sofa sahaja.

Anak ketiga daripada enam beradik ini tinggal bersama ibunya termasuk adik beradik lain di Taman Yan, Yan Kechil.

Ibunya, Che Tom Me, 55, merupakan ibu tunggal bekerja sebagai pekerja kilang dan berpendapatan RM800 sebulan.

Sedih kerana tak dapat bantu keluarga

Mustaqim berkata, buat masa ini, ibunya dimasukkan ke hospital kerana mengalami tekanan darah rendah.

“Sedih. Itu sahaja perasaan yang dapat saya ceritakan ketika ini. Umur yang meningkat namun saya masih membebankan ibu dan adik beradik saya.

“Impian saya mahu kuruskan badan dan kejar impian sebagai penyanyi,” katanya.

Ditanya sama ada pernah mengamalkan diet, Mustaqim berkata, dia pernah tidak menjamah nasi selama tiga bulan namun berat badannya tetap sama.

Mustaqim juga dikatakan mengalami masalah tidur menyebabkan dia tidak boleh tidur pada waktu malam sejak 2011.

“Saya hanya tidur pada waktu siang. Selepas Subuh saya tidur sehingga tengah hari dan begitulah rutin saya sehingga kini.

"Cakap sahaja produk kurus, semua saya cuba. Seingat saya, sudah ribuan ringgit dihabiskan untuk membeli produk kurus,” katanya.

Sering diejek

Katanya, dia yakin masalah dihadapinya bukan berpunca daripada genetik kerana adik beradiknya mempunyai berat badan ideal.

“Saya berasa rendah diri miliki berat badan begini. Dunia luar sering mempersendakan saya. Ada yang ejek tetapi saya kuatkan hati dan yakin dengan percaturan ALLAH SWT,” katanya.

Mustaqim turut mengalami masalah Asma dan perlu menerima rawatan seminggu sekali di hospital.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com