AddThis

Impian Faiz Swafoto Dengan Ronaldo Tercapai


IMPIAN pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Mohd. Faiz Subri untuk bertemu dan mengambil swafoto bersama-sama idolanya, Cristiano Ronaldo, akhirnya tercapai.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu menerusi akaun Twitter miliknya, sempat lagi memuat naik sekeping gambar eksklusif bersama-sama bintang bola sepak terkemuka dunia tersebut, beberapa jam lalu.

“Selepas saya terima anugerah itu, Cristiano Ronaldo ucap tahniah kepada saya. Saya juga sempat bergambar dengannya, memang ketika itu saya tak tahu nak kata apa lagi,” ulas Faiz kepada wartawan Malaysia di Zurich, Switzerland.

Turut kelihatan dalam gambar berkenaan ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah yang menemani Mohd. Faiz pada majlis berprestij FIFA tersebut.
Sebelum ini, media tempatan ada melaporkan hasrat pemain Pulau Pinang itu untuk berjumpa dan bergambar sendiri dengan Ronaldo jika berpeluang bertemu bintang sensasi Portugal berkenaan.

Pemain berusia 29 tahun itu melakar sejarah tersendiri apabila menjadi wakil benua Asia yang pertama meraih anugerah jaringan tercantik Puskas sejak diperkenalkan pada 2009. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com