Getah Naik Harga: "Rahmat" Atau "Bala" Di Kedah?

Penoreh lega kenaikan harga getah dapat meningkatkan pendapatan mereka.
ALOR SETAR -  Kenaikan harga getah baru-baru ini memberi rahmat kepada seluruh penoreh di tanah air.

Selepas sekian lama harga getah berada di bawah harga yang kurang memberangsangkan menyebabkan kehidupan penoreh turut terjejas hingga ramai di kalangan mereka berada di kelompok kemiskinan.

Awal tahun ini harga getah telah melonjak hingga melebihi  RM4 sekilogram (kg)  dan itulah detik yang dinanti oleh penoreh sekian lama.

Di sebalik rahmat itu, penoreh pening kepala kerana hasil sering dikebas pencuri.

Pembeli  getah, Rosli Shaari, 48, dari Kampung Apil, Pokok Sena berkata, semenjak kenaikan harga getah pihaknya mendapat hasil berlipat ganda hingga terpaksa menambah pekerja bagi mengutip getah di ladang.

Katanya, sebelum kenaikan harga getah, hasil getah yang diterimanya setiap hari antara 500 kilogram (kg) hingga 600 kg sahaja dari pekebun di kawasan itu.

“Bagaimanapun semenjak kenaikan harga hasilnya meningkat dari setan hingga dua tan sehari. Ini disebabkan banyak kebun getah terbiar dibuka semula dan penoreh juga terdiri dari pelbagai lapisan anggap menoreh mampu menampung perbelanjaan mereka.

“Kenaikan harga getah seperti hari ini juga menyebabkan ada di kalangan mereka sanggup menoreh getah pada waktu malam kerana hasilnya adalah lebih berbanding menoreh waktu siang,” katanya.

Sehubungan kenaikan harga getah hari ini juga menyebabkan ada di kalangan pemilik kebun getah terpaksa menggunakan penoreh import dari negara jiran yang sanggup menoreh getah  pada awal pagi.

Difahamkan sudah ramai pemilik kebun getah sudah mengambil pekerja asing bagi menoreh kebun getah mereka dengan upahnya secara sistem pawah.

“Oleh itu tidak hairanlah pada hari ini saya terpaksa menyediakan modal yang besar bagi membeli getah pada hari ini. Sebelum ini saya hanya menyediakan sebanyak RM2,000 sehari tetapi kini terpaksa membekalkan sebanyak RM8,000 setiap hari,” katanya.

Kenaikan harga getah sebenarnya memberi masalah kepada pembeli getah kerana harga yang sentiasa turun naik dalam sehari kadang kalanya menyebabkan kerugian.

Menurut Mohd Nazri Abu Bakar,38, dari Kampung Lubuk Perung, Kuala Nerang berkata, kenaikan harga pada kali ini agak pelik dan tidak menentu.

Katanya, kesan kenaikan harga pada hari ini memberi impak kepada pembeli dan banyak menguntungkan kepada penoreh.

“Setiap hari harga sentiasa turun naik dan peniaga terpaksa membeli mengikut harga yang ditetapkan. Bagaimanapun jika pada waktu pagi pembeli membeli dengan harga RM4.20 dan petangnya jatuh kepada RM4 sudah pasti pembeli akan menanggung kerugian.

“Harga getah adalah lebih ketara semasa kejatuhan berbanding dengan kenaikan. Oleh itu kenaikan pada kali ini menyebabkan pembeli getah merungut kerana sering mengalami kerugian. Saya berharap Lembaga Getah dapat kaji paras harga getah hari ini,” katanya.

Menurutnya, ketika ini dia perlu mempunyai  wang simpanan yang lebih supaya dapat membeli getah dari penoreh.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com