AddThis

Ganjaran "Misteri" Menanti Faiz Subri Di Kedah - KFA


ALOR SETAR - Ganjaran "misteri" sedang menanti anak kelahiran Kedah, Faiz Subri yang menempa sejarah baru di persada bola sepak dunia apabila menjadi pemain bola sepak Asia pertama yang memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, ganjaran berkenaan akan diumumkan sendiri oleh Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam pertemuan beliau dengan anak kelahiran Ayer Hitam, Kedah, itu.

Jelas Aminuddin, Faiz dijangka bakal bertemu dengan Menteri Besar Kedah itu pada 12 Januari ini di Wisma Darul Aman bagi menyampaikan penghargaan terhadap pencapaian membanggakan anak kelahiran Kedah itu.

"Datuk Seri Ahmad Bashah akan berjumpa dengan Faiz difahamkan pada 12 Januari ini selepas Faiz balik dari Switzerland.. Tempat mungkin di Wisma Darul Aman," ujar beliau.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan tersebut, Exco Belia dan Sukan Negeri Kedah itu menyatakan bahawa Menteri Besar Kedah itu juga dijangka akan memberikan ganjaran kepada penyerang skuad bola sepak Pulau Pinang berkenaan.

"Ada ganjaran... Tapi saya kurang pasti tentang bentuk ganjaran yang akan diberikan. Cuma Datuk Seri Ahmad Bashah kata 'tunggu hari, saya akan bagi'. Jadi saya pun tertunggu-tunggu juga apa bentuk ganjaran yang akan diberi pada Faiz nanti.

"Saya tak pasti apa bentuk ganjaran sama ada wang tunai atau apa-apa pun, kita tunggu pengumuman dari Datuk Seri Ahmad Bashah," kata beliau kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kemenangan bersejarah yang dimenangi Faiz, Aminuddin meluahkan rasa bangga dengan pencapaian anak kelahiran Kedah itu meskipun beliau tidak bermain untuk pasukan Hijau Kuning.

"Kita tumpang rasa bangga dengan kejayaan anugerah yang telah dicapai oleh Faiz Subri. Pihak KFA sangat-sangat berbangga dengan pencapaian tersebut.

"Walaupun Faiz tidak bermain dengan pasukan Kedah, tetapi asasnya beliau berasal dari Kedah dan kita tumpang rasa seronok dan cukup berbangga," katanya lagi.

Faiz awal pagi tadi merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Selepas pemain tersohor Portugal, Ronaldo menerima pengiktirafan tersebut, Anugerah Puskas dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), pemain Brazil, Neymar (2011), Miroslav Stoch dari Slovakia (2012), Zlatan Ibrahimovic dari Sweden (2013) dan pemain Colombia, James Rodriguez pada 2014.

Pemain kurang ternama dari Brazil, Wendell Lira, menggondol anugerah berkenaan pada 2015 dan seramai tiga finalis, Mohd Faiz, Marlone dan Rodriguez telah disenarai pendek daripada keseluruhan 10 jaringan tercantik bagi musim 2016. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com