Duta Baru AS Ke Malaysia Minta Netizen Cadang Makanan Sedap


BAKAL duta baru Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Kamala Lakhdir yang tiba di negara ini dan sudah mula menjalankan tugasnya sempat memuat naik video untuk memperkenalkan dirinya di laman Facebook kedutaan AS, @usembassykl.

Memulakan salam perkenalannya dengan ucapan,”Apa khabar?”, dalam video berdurasi 1 minit 35 saat itu Lakhdir menceritakan secara ringkas tentang dirinya termasuklah berkenaan latar belakang keluarga dan perjalanan kerjayanya.

Apa yang menarik sekali adalah Lakhdir mempunyai darah campuran India di sebelah bapa dan Mat Salleh di sebelah ibunya.

“Bapa saya dari India dan menghadiri universiti di AS sebelum jatuh cinta dengan ibu saya, seorang warga Amerika”, katanya memulakan cerita.

Pertembungan budaya daripada kedua-dua ibu bapanya menjadikan wanita ini telah didedahkan dengan adat resam yang pelbagai di dunia luar sejak kecil lagi.

“Melalui perjalanan kami, saya dan abang saya telah didedahkan kepada dunia luar dan menghormati budaya lain.”

Sebelum menyertai Perkhidmatan Luar Negara, Lakhdir telah bekerja sebagai guru di Kenya dan China.

Selain itu, Lakhdir juga pernah berkhidmat di Riyadh, Jakarta, Beijing, Belfast dan Washington sepanjang 25 tahun kerjayanya.

Tambah wanita ini lagi, sebagai duta, tugas beliau adalah untuk meluaskan kerjasama dengan Malaysia dalam sektor perdagangan, alam sekitar, perundangan, pendidikan, kesihatan awam dan juga pencegahan terorisme.

Selain itu, Lakhdir juga berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia datang melawat AS untuk membina persefahaman antara dua negara.

Dalam video ini, Lakhdir turut memberitahu bahawa beliau pernah melancong ke Malaysia pada tahun 1990 dan amat teruja untuk tinggal di negara yang cantik dan berbilang bangsa ini.

Dan seperti majoriti ‘orang baru’ ke negara kita, tidak sah sekiranya tidak berbicara tentang makanan.

Lakhdir menyuarakan keterujaannya untuk mencuba makanan Malaysia yang hebat dan meminta agar rakyat negara ini memberi cadangan makanan tempatan yang mesti dicuba olehnya di laman Facebook Kedutaan AS iaitu US Embassy Kuala Lumpur.

Rata-rata netizen memberikan respon positif terhadap kedatangan Lakhdir ke Kuala Lumpur dan mengucapkan selamat datang serta mendoakan kesejahteraan beliau memulakan tugas di sini. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com