Dua Keluarga Ceria Disapa Mesra Kerajaan Negeri, JKM

Penyerahan baju dan kelengkapan sekolah dilakukan selepas selesai menikmati hidangan di restoran makanan segera.
SUNGAI PETANI – Kisah tular seorang ibu menjaga enam anak di Bandar Puteri Jaya, di sini dengan hanya menjual nasi lemak mendapat perhatian umum apabila ramai yang tampil membantu termasuklah menerima bantuan daripada Kerajaan Kedah.

Siti Nazimah Ibrahim, 36, berkata, anaknya, Nurul Aida Sabrina, 14, dan Muhammad Shazmin Fariz Haikal, 13, merupakan pelajar yang mendapat prestasi membanggakan sehingga diterima masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim.

Manakala, Muhammad Ammar, 11, dan Nurul Adriana Qaisara, 8, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya.

"Saya hanya jual nasi lemak untuk tampung keluarga dan dengan hasil jualan saya guna untuk perbelanjaan sekolah," katanya.

Ada ketikanya, Siti Nazimah terpaksa membiarkan anak lelaki, Muhammad Hadief Darwisy, 5, menjaga anak bongsu, Nurul Aiffa Rania, 2, semasa keluar berniaga.

Bagaimanapun, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri yang prihatin dengan nasib mereka apabila Exco Kebajikan Masyarakat, Datuk Suraya Yaacob sendiri turun padang menemani dia dan anak-anak memilih baju sekolah untuk sesi persekolahan 2017.

Seorang lagi penerima, Rosmalijahita Mohd Nor, 32, berkata, baju sekolah baharu dari kerajaan negeri buat tiga anaknya, Mohamad Rifqi, 9, Nur Rifa Faliha, 7, dan kembarnya, Nur Rifa Fakhira, 7, amat dihargai.

Suaminya, Mohd Fauzi Abd Karim, 34, merupakan bekas pengawal keselamatan kini mengalami emosi tidak stabil akibat jatuh sakit.

Kedua-dua keluarga ini dibawa kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda memilih baju dan kelengkapan sekolah sebelum diberi peluang menikmati hidangan di restoran makanan segera.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah, Md Noor Chik berkata, pihaknya menyampaikan Tabung Bantuan Segera bernilai RM300 kepada kedua-dua wanita tersebut.

“Melihatkan kepada perniagaan nasi lemak yang diusahakan, jabatan akan menilai kesesuaian sekiranya berpotensi memohon Geran Pelancaran,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com