Dihambur Kata-Kata Kesat, Abang Tikam Adik Dengan Pisau


ALOR SETAR – Oleh kerana tidak tahan dihambur dengan kata-kata kesat oleh adik perempuanya, seorang abang dilapor bertindak menikam adiknya itu di rumah mereka di Batu 49, Kampung Chepir, Sik.

Kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi semalam antara si abang yang berumur 15 tahun dan adiknya yang berumur 14 tahun.

“Ketika itu mangsa sedang tidur di dalam bilik seorang diri apabila bapanya mendengar jeritan anaknya itu.

“Bapa tersebut yang pergi melihat anaknya mendapati anaknya berdarah pada rusuk kiri dan sedang mengerang kesakitan,” kata Ketua Polis Daerah Sik, DSP Mohd Ismail Ibrahim ketika dihubungi.

Remaja itu kemudianya dibawa ke Hospital Sik sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

Bapanya turut membuat laporan polis.

“Suspek juga didapati membalut hulu pisau yang digunakan untuk menikam adiknya dengan tuala kecil,” kata Ismail.

Suspek dipercayai melarikan diri selepas kejadian itu dan pihak polis yang menjejakinya kemudian menemukannya semula di rumah tersebut, termasuk pisau yang digunakannya.

Beliau berkata suspek sedang direman untuk disiasat kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Punca kejadian sedang disiasat dan suspek juga didapati positif syabu, katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com