AddThis

Dibantu Dr Rozmey, Harapan Jadi Penyanyi Kembali Bersinar

Dr Rozmey menceritakan tentang disiplin diet kepada Mustaqim.
YAN - Impian seorang pemuda untuk menjadi penyanyi kembali bersinar apabila pengasas produk pelangsingan badan Dr Rozmey tampil membantu.

Meskipun memiliki berat badan hampir 300 kilogram, Mohd Mustaqim Abd Talib, 30, berasa sangat teruja dan seakan bermimpi apabila Dr Rozmey datang ke rumahnya di Taman Yan, di sini semalam.

“Saya rasa seperti impian saya kembali bersinar dan saya harap ini adalah detik permulaan buat saya mencipta kejayaan.

“Sungguh, bukan mudah untuk kurus, tetapi saya yakin dengan sokongan seperti ini saya pasti mampu,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, dia nekad untuk memulakan sesi diet dan bersedia mengubah gaya hidupnya yang tidak tidur pada waktu malam.

“Semuanya perlu diubah dan dimulakan dengan perkara baru Insya-ALLAH saya akan pastikan ia berhasil,” katanya.

Dr Rozmey mengambil keputusan untuk menaja produk miliknya dalam usaha membantu Mustaqim untuk mengurangkan berat badan.

“Kita akan taja produk ini sehingga dia (Mustaqim) dapat mencapai berat badan ideal iaitu 65 kilogram,” katanya.

Menurut Dr Rozmey, Mustaqim perlu mempunyai semangat dan disiplin yang kuat bagi membolehkan dia berjaya.

“Suplemen produk pelangsingan badan ini adalah sampingan sahaja. Mustaqim sendiri perlu mengawal pengambilan makanan dan berdisiplin dalam memilih menu.

“Kurangkan kalori dan perbanyakan makanan seperti buah-buahan segar,” katanya.

Semalam, media ada memaparkan kisah impian seorang pemuda untuk menjadi penyanyi berkubur ekoran memiliki berat badan hampir 300 kilogram.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com