Dego Ride: JPJ Diarah Ambil Tindakan


KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap teksi motosikal atau Dego Ride yang beroperasi di sekitar ibu negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, setakat ini, tiada lesen yang dikeluarkan kepada perkhidmatan mengambil penumpang menggunakan motosikal.

"Setakat ini tidak ada lesen untuk teksi motosikal. Dalam sistem ambil upah daripada penumpang, kita tidak membenarkan penggunaan motosikal.

"Kalau mereka membuat bisnes ini, maka ia sesuatu yang menyalahi undang-undang. Kita arahkan JPJ untuk mengambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2017 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Mines Selatan di sini, Selasa.

Perkhidmatan Dego Ride yang bermula November lalu boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.

Ab Aziz berkata, penggunaan motosikal untuk mengambil penumpang tidak dibenarkan setakat ini kerana tiada ciri keselamatan.

"Kita tidak mahu masyarakat terdedah kepada bahaya. Bagi saya, tidak boleh menjalankan perniagaan tanpa kebenaran atau kelulusan kerajaan.

"Ia melibatkan rakyat. Kalau menggunakan perkhidmatan itu dan berlaku kemalangan nanti bagaimana pembelaan terhadap penumpang?," soal Ab Aziz.

Ditanya adakah isu teksi motosikal turut dibawa dalam pembentangan berkaitan pengangkutan awam di Parlimen akan datang, Ab Aziz berkata: "Tidak, ia hanya melibatkan Uber dan GrabCar bagi kereta sahaja."

Rang undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan Uber dan GrabCar dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac ini.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com