Dari Lana Bulu Ke Zurich, Lantik Faiz Jadi Ikon TN50 - Belia Darul Aman


ALOR SETAR - Dari Lana Bulu hingga ke Zurich, anak kelahiran Kedah, Mohd Faiz Subri mengharumkan nama negara apabila menempa sejarah sebagai pemain bola sepak Asia pertama memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Kelab Belia Darul Aman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pengiktirafan antarabangsa berprestij itu melayakkan Faiz untuk dilantik menjadi ikon Transformasi Nasional (TN50).

"Kejayaan Faiz Subri anak jati Lana Bulu, Jerlun Kedah memenangi anugerah tersohor Puskas harus dilihat sebagai satu legasi hebat yang bukan mudah dicapai. Ini merupakan satu kebanggaan bukan sahaja kepada kepada Negara, maahan kepada Kedah dan seluruh rakyat negeri ini.

"Kelab Belia Darul aman ingin mencadangkan agar Faiz dilantik selaku ikon Transformasi Nasional (TN50) memandangkan beliau telah membuktikan bahawa anak kampung sepertinya juga boleh berjaya di pentas dunia," katanya kepada Kedahnews.com di sini, hari ini.

Selanjutnya, Syed Mohd Johan Rizal turut mencadangkan supaya Faiz dilantik sebagai Duta Muafakat Beliau Kedah sebagai salah satu penghargaan yang layak diberikan kepadanya.

"Di peringkat negeri Kedah, pihak Kelab Belia Darul aman berhasrat mencadangkan nama beliau kepada kerajaan negeri untuk diiktiraf dan diangkat selaku Duta Muafakaf Belia Kedah dan dihargai dengan sewajarnya," saran Pengerusi kelab tersebut.

Beliau turut mencadangkan agar Faiz dibawa menyertai 'road show' ke serata negeri Kedah dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri untuk mencetus inspirasi kepada golongan anak muda di negeri Jelapang Padi ini.

"Menerusi platform ini Faiz akan disarankan untuk dibawa melakukan road show serata negeri menerusi kerjasama Jabatan belia dan Sukan untuk memberikan ceramah kesedaran, berkongsi pengalaman dan menyuntik motivasi kepada belia yang lain agar dapat mencipta kejayaan seperti dirinya mengikut minat dan bidang yang diceburi," ujar beliau lagi.

 Faiz awal pagi tadi merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk jaringan gol paling cantik sepanjang 2016, justeru meletakkan namanya sebaris dengan pemenang terdahulu seperti bintang tersohor, Cristiano Ronaldo dan Neymar.

Mohd Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Selepas pemain tersohor Portugal, Ronaldo menerima pengiktirafan tersebut, Anugerah Puskas dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), pemain Brazil, Neymar (2011), Miroslav Stoch dari Slovakia (2012), Zlatan Ibrahimovic dari Sweden (2013) dan pemain Colombia, James Rodriguez pada 2014.

Pemain kurang ternama dari Brazil, Wendell Lira, menggondol anugerah berkenaan pada 2015 dan seramai tiga finalis, Mohd Faiz, Marlone dan Rodriguez telah disenarai pendek daripada keseluruhan 10 jaringan tercantik bagi musim 2016. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com