Budaya Baca Perlu Untuk Tingkat Taraf Kehidupan


KOTA KINABALU – Budaya membaca dalam kalangan rakyat khususnya di Sabah perlu ditingkatkan untuk menambah baik taraf kehidupan serta agar mereka mampu berdaya saing dalam dunia kini yang semakin mencabar.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Yahya Hussin berkata sifat suka membaca adalah amalan mulia dan seharusnya dijadikan budaya seumur hidup.

“Membaca penting untuk menimba ilmu, memperkaya maklumat, memperoleh ilmu pengetahuan dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Melalui membaca juga kita boleh mendidik diri sendiri dalam pelbagai aspek.

“Masyarakat yang suka membaca merupakan aset kerajaan yang tidak ternilai kerana kehidupan pada masa hadapan banyak bergantung kepada apa yang kita pelajari pada hari ini,” katanya ketika Majlis Penyerahan Buku Kepada Perpustakaan Kem Lok Kawi, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Yahya menyampaikan sumbangan buku bernilai RM1,000 kepada perpustakaan berkenaan.

Yahya berharap sumbangan buku itu akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan semangat anggota tentera dan anak-anak tentera supaya terus mengunjungi perpustakaan berkenaan.

“Kempen untuk menggalakkan orang ramai membaca perlu disertakan dengan usaha menyediakan kemudahan membaca itu sendiri. Oleh itu saya berharap sumbangan pada hari ini dapat dimanfaat sebaik-baiknya,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com