Bersih Mahu Kerajaan Kelantan Henti Zalimi Orang Asli


KUALA LUMPUR – Pertubuhan pro-Pakatan Harapan, BERSIH 2.0 menuntut kerajaan PAS Kelantan membuat permohonan maaf serta-merta ke atas masyarakat Orang Asli di negeri itu kerana menzalimi hidup mereka.

BERSIH 2.0 dalam satu kenyataan berkata, kerajaan PAS Kelantan turut diminta supaya mengiktiraf secara terbuka hak milik Orang Asli ke atas tanah adat mereka di Kelantan.

“BERSIH 2.0 amat terkejut mendapat tahu Jabatan Perhutanan Kelantan (JPK) sekali lagi memusnahkan sekatan Orang Asli di Simpang Petei semalam (kelmarin).

“Tindakan yang tidak bertimbang rasa ini mencabul hak asasi manusia dan menjejaskan hak kehidupan Orang Asli kerana kehidupan mereka berkait rapat dengan tanah adat,” kata kenyataan itu semalam.

BERSIH 2.0 dalam pada itu mendakwa mereka yang ditahan semalam tidak dibawa ke balai polis, tetapi dibawa ke pejabat Jabatan Perhutanan Kelantan.

Dakwa BERSIH 2.0, pegawai-pegawai Jabatan Hutan Kelantan merampas barangan peribadi seperti motosikal dan telefon bimbit dan menghalang perhubungan luar dengan komuniti Orang Asli.

“Pagi ini, 16 lagi aktivis dan dua wartawan ditahan. Jabatan Perhutanan Kelantan dilaporkan sedang bersedia memusnahkan satu lagi sekatan Orang Asli.

“Mereka telah melampaui bidang kuasa serta mengabaikan semua prosedur dan proses undang-undang. Kelakuan mereka menyerupai samseng dan melanggar undang-undang Malaysia,” kata kenyataan itu. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com