Belum Pulang-Pulang Lepas Keluar Candat Sotong Di Kuala Kedah

Seorang nelayan dikhuatiri hilang apabila tidak pulang selepas keluar mencandat sotong melalui Jeti Kuala Kedah. -Foto ihsan bomba
ALOR SETAR - Seorang nelayan dikhuatiri hilang apabila tidak pulang selepas keluar mencandat sotong melalui Jeti Kuala Kedah,di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam, Sabtu, mangsa dikenali sebagai Shukri Abd Rashid, 30, dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah, dikatakan keluar mencantat sotong di perairan Kuala Kedah.

Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, mangsa dikatakan menghubungi rakannya kira-kira jam 2 pagi, Ahad, memaklumkan keadaannya.

"Dalam maklumat diberikan itu,mangsa memberitahu dia tidak dapat pulang menaiki bot digunakan disebabkan ombak kuat dan hujan lebat.

"Sehingga kini, mangsa dilaporkan masih belum pulang,malah dia juga gagal dihubungi,"katanya.

Sehubungan itu,katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja digerakkan ke lokasi untuk mencari dan menyelamat mangsa hilang di laut.

Hafizah berkata, pihak mereka menerima panggilan kira -kira jam 2.14 petang,sebelum tiba di jeti Kuala Kedah selepas 21 minit kemudian.

Kata beliau,kira-kira lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Abdul Manaf Jaafar menggunakan jentera,bot aluminium dan bot kelvar demi membantu mencari mangsa.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com