AddThis

Beli Telefon Bimbit Berjenama Di Baling, Rupanya Tiruan

Nazri tengah menunjukkan talefon bimbit dipercayai tiruan dan Janghir kiri menunjukkan talefon bimbit biasa yang fungsinya sama dengan jenama tiruan.
BALING - Kegiatan menjual telefon bimbit berjenama dipercayai tiruan pada harga lebih murah berbanding pasaran berjaya memperdaya ramai pengguna di daerah ini.

Pengerusi Persatuan Suara Pengguna Malaysia (PSPM) daerah Baling, Jhangir Khan Kathem Khan berkata, penjualan telefon bimbit itu dipercayai  aktif sejak enam bulan lalu di pasar malam dan  pekan sehari sekitar Baling.

“Telefon bimbit tiruan ini  dijual pada harga RM 250 hingga RM 300.  Berdasarkan maklumat awal,  mendapati penjualnya berkemungkinan warga asing.

“Penjual ini menggunakan taktik bisik-bisik, mereka akan menghampiri pengguna dengan menawarkan telefon bimbit berjenama pada harga mampu milik. Ada antara mereka memperdaya pengguna   kononnya  perlu menjual telefon itu untuk membayar sewa rumah,” katanya pada sidang media di Pejabat Dun Bayu, kelmarin.

Menurutnya, penjual terbabit dipercayai tidak kembali  semula ke lokasi sama bagi  tempoh 10 hari bagi mengelak dirinya dikenali.

“PSPM percaya tindakan itu bagi mengelirukan orang ramai,”katanya.

Beliau berkata, saiz, reka bentuk dan berat telefon bimbit dipercayai tiruan itu tidak ubah seperti  barangan sebenar menyebabkan pengguna  mudah terpedaya.

“PSPM ada menerima aduan daripada pengguna  yang tertipu apabila membeli telefon berkenaan. Hasil siasatan mereka tertarik dengan ciri-ciri telefon bimbit tersebut sebelum bertindak melulu membelinya.

“Bagaimanapun apabila dibuka perisian dalaman tidak boleh mengakses internet, kameranya juga tidak dalam keadaan baik,”katanya.

Jhangir Khan berkata, satu operasi khas melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan digerakkan bagi mengelakkan lebih ramai pengguna tertipu.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Penduduk Daerah Baling (Perkeba), Mohd Nazry Md Bidin berkata, orang ramai dinasihati membeli telefon bimbit dan alatan di kedai berdaftar.

“Orang ramai diminta lebih berhati-hati, pastikan setiap pembelian mempunyai resit dan kad jaminan yang sah.

“Perkeba akan memberi kerjasama  kepada PSPM dan KPDNKK agar gejala jual beli barangan tiruan ini dibanteras segera,”katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com