Awas Maklumat Risikan, Propaganda Media Barat


KUALA LUMPUR – PAS meminta umat Islam supaya berhati-hati dengan maklumat risikan reka cipta dan propaganda media negara kuasa besar dunia yang bertujuan mengelirukan umat Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, maklumat risikan reka cipta dan propaganda media asing itu akan diangkat sebagai fakta untuk mencapai tujuan seperti yang berlaku di Syria.

“Umat Islam mestilah cermat memahami bahawa apa yang berlaku adalah campurtangan strategik kuasa besar dunia untuk mewujudkan ketidakstabilan di bumi Syria sebagai tindakan menjaga kepentingan keselamatan Israel di rantau itu.

“Maklumat risikan rekacipta dan propaganda media negara kuasa besar ini diangkat sebagai fakta yang dikelirukan terhadap umat Islam. Negara-negara Arab seterusnya ditiupkan adu domba api peperangan Sunni-Syiah.

“Percaturan kompleks geo-politik sebegini memerlukan kefahaman dalam kalangan umat Islam supaya tidak dikelirukan oleh agenda zionis dan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Justeru, kata Abdul Hadi, PAS mendesak supaya negara antarabangsa bertindak memastikan keadaan keselamatan di Syria terpelihara dan kezaliman serta pembunuhan dinegara itu disiasat. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com