Anak Khinzir Lahir Berwajah Monyet


SEEKOR anak khinzir yang baru lahir di sebuah ladang di wilayah Guizhou, China mengalami kecacatan pada bahagian muka dan telinga menyebabkannya kelihatan seperti seekor anak monyet.

Menurut portal Shanghaiist, akibat kecacatan itu, anak khinzir berkenaan telah menarik perhatian penduduk sekitar untuk bertandang ke ladang Lin iaitu pemiliknya untuk melihat sendiri keganjilan tersebut.


Tambah laman itu, tidak dapat dipastikan punca kenapa anak khinzir itu boleh mengalami kecacatan sedemikian namun menurut pakar, mereka berpendapat ia berpunca daripada faktor pencemaran alam sekitar yang berlaku.

Kecacatan yang dialami menyebabkan  anak khinzir tersebut tidak mampu untuk menyusu sendiri dan Lin terpaksa menyusukannya menggunakan botol susu bayi.


Kejadian seumpama ini bukanlah yang pertama kali berlaku di pedalaman China. Jun lalu, seorang petani di Sichuan mendedahkan anak khinzir ternakannya mempunyai dua kepala dan tiga mata.

Manakala pada tahun lalu pula, seorang lelaki di Tianjin menjumpai seekor khinzir yang bermuka dua dan bertelinga tiga di sebuah tokong di bandar tersebut lalu memeliharanya. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com