Ahli Majlis, JPP Perlu Ganding Bahu BerMUAFAKAT

SUNGAI PETANI - Ahli Majlis dan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Kedah diminta berganding bahu dengan kerajaan negeri dalam menterjemah konsep Muafakat Kedah demi kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, empat pendekatan Muafakat Kedah yang sering kali dilaungkan adalah Muafakat Sosial dan Kemasyarakatan, Muafakat Ekonomi, Muafakat Pentadbiran dan Muafakat Politik.

"Melalui Muafakat Sosial, saya mengajak Anggota Majlis dan JPP untuk turun padang ataupun melakukan tinjauan mesra ke daerah-daerah bertemu rakyat, bertanya khabar serta menyelami susah senang kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

"Melalui Muafakat Ekonomi, saya menyarankan agar agensi kerajaan khususnya PBT meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing agar persekitaran perkhidmatan PBT dilihat sebagai agensi penyedia perkhidmatan perbandaran yang mesra pelaburan dan tidak menyusahkan sektor swasta melalui prosedur-prosedur penuh karenah birokrasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Tauliah Pelantikan Anggota-anggota Majlis Bagi Penggal 2017-2018 dan Pengerusi JPP PBT  Kedah di Menara Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Badrol Hisham Hashim.

Ahmad Bashah berkata, pendekatan ketiga melibatkan Muafakat Pentadbiran adalah melalui kerjasama erat antara pemimpin politik, Perkhidmatan Tadbir Negeri dan Persekutuan.

Sementara melalui Muafakat Politik, parti pemerintah mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran membina daripada pembangkang, selain mengelak politik melampau, katanya.

"Saya juga berharap Ahli Majlis mahupun Pengerusi JPP dapat melengkapkan diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tanggungjawab masing-masing agar lebih peka kepada hal ehwal kerajaan tempatan.

"Mereka juga perlu prihatin terhadap permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global," katanya.

Terdahulu, seramai 172 Pengerusi JPP dan 288 Ahli Majlis di seluruh Kedah menerima tauliah pelantikan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com