Abang Johari Rasmi Ketua Menteri Sarawak Yang Baru

KUCHING – Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg secara rasmi dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri keenam, di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Majlis berlangsung di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Astana Negeri, di sini jam 4 petang. Beliau yang mesra disebut sebagai Abang Johari menggantikan allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Berusia 66 tahun, ADUN Satok sejak lapan penggal itu merupakan Menteri Perumahan dan Perbandaran serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak di bawah Kabinet negeri.

Beliau dilantik sebagai antara timbalan ketua menteri selain Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Dr. James Jemut Masing yang diwujudkan Adnan selepas Pilihan Raya Sarawak ke-11 tahun lalu.

Abang Johari sebenarnya ialah anak bongsu kepada pasangan Yang Dipertua Negeri pertama, allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapiee dan Toh Puan Dayang Masniah Abdul Rahman.

Meskipun bapanya meninggal dunia pada 1969, beliau hanya menyertai politik pada 1977 sebelum Pilihan Raya Sarawak keempat pada 1983 semasa era Abdul Taib menjadi ketua menteri.

Sumber:  Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com