828 Saman Dalam Operasi JPJ Di Pulau Pinang


BUTTERWORTH – Sebanyak 828 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi sempena Hari Krismas dan Tahun Baharu 2017 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh Pulau Pinang bermula 24 Dis lepas.

Pengarah JPJ Negeri Noorul Habib Abdul Guduse berkata sepanjang operasi yang berakhir awal semalam itu, sebanyak 3,847 kenderaan termasuk 2,000 motosikal diperiksa.

“Sebanyak 51 motosikal disita dan saman yang dikeluarkan adalah atas pelbagai kesalahan menurut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, dua lelaki yang merupakan penunggang motosikal turut ditahan kerana positif dadah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa operasi itu di Jambatan Pulau Pinang di sini, tengah malam semalam.

Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Noorul Habib berkata sepanjang operasi sama 123 bas ekspres diperiksa dan terdapat 14 saman (notis P22) serta Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) dikeluarkan ke atas kenderaan berkenaan.

Katanya pemeriksaan ke atas bas ekspres dan pemandunya akan diteruskan terutama di terminal bas di negeri itu bagi memastikan mereka mengikut peraturan ditetapkan.

Selain itu, beliau berkata JPJ Pulau Pinang juga pada kali ini turut melaksanakan Op Khas Motosikal dalam usaha mengesan penunggang motosikal yang melanggar peraturan lalu lintas.

“Bagi yang berkonvoi menunggang motosikal perlu membawa secara berhemah supaya tidak membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com