8 Lagi Mayat Penumpang Bot Pancung Karam Ditemui


JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menemui lapan lagi mayat lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI), yang hilang dalam tragedi bot pancung karam di perairan Tanjung Leman, semalam.

Timbalan Pengarah Maritim Wilayah Maritim Selatan Kapten Maritim Saiful Lizan Ibrahim berkata mereka ditemui terapung kira-kira 7.30 pagi di kedudukan lima batu nautika selatan Pulau Mungging, Kota Tinggi iaitu kira-kira 60 batu nautika dari tempat bot itu karam.

Beliau berkata penemuan itu menjadikan jumlah mangsa yang dijumpai setakat ini adalah 24 orang yang terdiri daripada tujuh wanita dan 17 lelaki.

Selain itu, dua mangsa lagi iaitu seorang lelaki dan wanita dijumpai selamat.

“Operasi hari keempat hari ini melibatkan pencarian di perairan Tanjung Sedili hingga ke perairan Teluk Ramunia yang sejauh 60 batu nautika.

“Ia melibatkan empat aset APMM dan operasi akan diteruskan bagi mencari saki baki mangsa yang lain,” katanya dalam kenyataan malam semalam.

Bot pancung itu, yang membawa 40 PATI warganegara Indonesia, dipercayai berlepas dari Batam pada 8 malam pada Ahad sebelum terbalik dipukul ombak kuat di perairan Tanjung Rhu kira-kira 4.30 pagi. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com