30,275 Murid Tahun 1 Mulakan Sesi Persekolahan 2017 Seluruh Kedah


ALOR SETAR – Seramai 30,275 murid tahun satu memulakan sesi persekolahan 2017 di seluruh Kedah, semalam.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mereka memulakan sesi persekolahan di 548 sekolah kebangsaan di negeri ini.

 “Pada tahun ini, seramai 430,000 murid dan pelajar di seluruh Kedah akan memulakan sesi persekolahan. Daripada jumlah itu, 30,275 orang adalah murid tahun satu.

“Alhamdulillah, persiapan ibu bapa ada pelbagai. Kita harap murid-murid tahun satu ini akan merasai keselesaan pembelajaran di sekolah yang disediakan,” katanya kepada media, semalam.

Terdahulu, Ahmad Bashah melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Mergong, di sini untuk meninjau suasana hari pertama persekolahan murid tahun satu.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datuk Azuyah Hassan.

Menurutnya, terdapat seramai 171 murid tahun satu di sekolah berkenaan dengan pecahan sebanyak enam kelas.

“Macam-macam ragam, ada yang seronok dan ada yang menangis. Biasalah hari pertama masuk sekolah. Bagaimanapun, saya lihat perubahan dari sebelum ini memang banyak.

“Sebab murid-murid tahun satu ini dah biasakan diri di tadika. Jadi apabila di tahun pertama ini agak mudah, cuma ibu bapa mungkin akan datang menemani mereka untuk hari pertama dan kedua di sekolah,” katanya.

Ahmad Bashah mengharapkan supaya suasana itu berterusan dan semua murid serta pelajar mendapat pelajaran terbaik yang disediakan oleh kerajaan.

“Alhamdulillah, saya gembira dan saya ucapkan selamat tahun baharu kepada semua, seluruh rakyat Kedah,” katanya.

 Sementara itu, majoriti murid tahun satu yang mendaftar di SK Mergong ketika ditemui turut menzahirkan rasa seronok di hari pertama persekolahan.

 Muhammad Danial Fakhruddin, 7, berkata, dia bangun tidur seawal jam enam pagi untuk bersiap ke sekolah.

 “Danial rasa seronok nak mai sekolah sebab boleh jumpa kawan-kawan. Sebelum mai sekolah, ayah pesan belajar rajin-rajin. Jangan lukis ultraman dan raksasa,” katanya.

Manakala Amanda Danella Arnizan, 7, pula mengakui tidak menangis kerana sudah biasa melalui sesi persekolahan di tadika pada sebelum ini.

 “Saya rasa seronok nak mai sekolah sebab  ramai kawan. Mak pesan belajar pandai-pandai dan jangan buli orang di sekolah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com