3 Penjuru Sebab "Kacau" Kerusi PAS, Bukan Proksi UMNO


KUALA LUMPUR – PAS memberi amaran kepada Pakatan Harapan supaya tidak menyalahkan PAS jika berlaku pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, pertandingan tiga penjuru bakal berlaku bukan kerana PAS proksi UMNO, tetapi kerana Pakatan Harapan mahu "kacau" bertanding di kawasan yang pernah ditandingi atau dimenangi oleh PAS.

Justeru, Iskandar menafikan dakwaan Pakatan Harapan bahawa PAS merupakan proksi UMNO yang bertujuan memecahkan undi penyokong pembangkang.

“Apabila berlaku tiga penjuru kerana parti Pakatan Harapan memasuki kawasan yang dimenangi oleh PAS atau kawasan yang ditandingi oleh PAS pada pilihan raya umum yang lepas, tidak wajar untuk menuding jari kepada PAS.

” Adalah tidak masuk akal PAS yang bersalah apabila parti-parti lain yang mengacau kerusi PAS. Tambahan pula jika konsep dua penjuru tidak lagi dihormati oleh parti-parti lain maka kenapa pula PAS perlu menghormatinya?” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor berkata demikian bagi membalas usaha Pakatan Harapan sejak semalam bagi menimbulkan dakyah bahawa PAS merupakan sebuah parti sampah yang tidak boleh dipercayai dan bertujuan memecahbelahkan pembangkang.

Pakatan Harapan yang diketuai DAP dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Iskandar seterusnya menasihatkan pemimpin Pakatan Harapan terutama PAN supaya menghentikan serangan terhadap PAS, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk menyelesaikan masalah dalaman Pakatan Harapan.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa kehadiran PAN telah menimbulkan kecelaruan kepada suasana politik negara.

Sehubungan itu, beliau meminta PAN supaya bergabung dengan DAP supaya dapat bertanding di kawasan DAP.

“Jika ini berlaku maka pemimpin-pemimpin PAN boleh diperuntukan kerusi-kerusi selamat DAP dan ini akan dapat menyelesaikan banyak masalah,” katanya.

PAS diserang hebat oleh Pakatan Harapan bermula kelmarin berikutan keengganan PAS menyertai gabungan parti pembangkang yang dibarisi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com