2 Perkara Paling Sukar: Kurus, Berhenti Merokok

ADA lebih 1 bilion perokok di seluruh dunia, dan sebahagian besar mereka sudah pasti membuat keputusan atau resolusi untuk berhenti merokok apabila setiap kali tiba tahun baru.

Bagaimanapun, ramai yang gagal sehingga satu penyelidikan mengatakan tiga daripada lima subjek perokok yang 'berhenti' akan memulakan balik tabiat buruk tersebut pada akhir Januari setiap tahun.

Seramai 2,000 perokok terlibat dalam sebuah survey mengenai resolusi berkenaan pada akhir 2016, dan hanya 175 subjek memilih untuk berhenti merokok. Dari jumlah tersebut pula, hanya 41 peratus yang masih meneruskan resolusi mereka.

"Salah satu cabaran besar untuk berhenti merokok adalah ketagihan bahan kimianya," kata Pengarah Hubungan Luar di Royal Society of Public Health Britain, Duncan Stephenson kepada CNN.

Penemuan tersebut tidak mengejutkan Duncan. Malah Duncan berulang kali mengingatkan subjeknya supaya tidak berputus asa apabila menghadapi rintangan.

Perokok dicadangkan meminta bantuan atau sokongan seperti terapi atau rokok elektronik untuk mencerahkan lagi peluang berhenti merokok.

"Membuat perubahan kecil sedikit demi sedikit dan berjaya adalah lebih penting daripada membuat perubahan besar dan gagal.

"Ketika tahun baru, ramai yang mahu berubah, tapi akhirnya berputus asa," kata Duncan.

Resolusi untuk kurus

Duncan menyamakan resolusi berhenti merokok sama dengan resolusi mengurangkan berat badan atau menjalani kehidupan sihat, di mana ramai subjek gagal.

"Hari Krismas sendiri adalah 'hari untuk menjadi gemuk', selepas itu anda membuat diet ketat secara tiba-tiba.

"Dalam kebanyakan kes, 95 peratus subjek gagal mencapai sasaran diet mereka," jelas Duncan lagi.

Tips untuk mencapai resolusi

Profesor Psikologi di Universiti Scranton, John Norcross menggesa orang ramai supaya memperkuatkan minda terlebih dahulu untuk menghadapi resolusi yang payah.

John menyamakan usaha mencapai resolusi seperti mencuba sukan baharu; ramai yang akan gagal tetapi pada waktu yang sama, mereka akan belajar dari kesilapan.

"Anda mahu belajar main tenis. Orang kata anda perlu ambil kelas, ambil masa dan anda akan buat silap. Itu benar.

"Benda yang sama pasti akan berlaku ketika mahu berhenti merokok atau komited untuk memakan makanan secara sihat," kata John.

"Gagal tidak bermaksud gagal selamanya, malah kegagalan patut diramalkan berlaku," kata John.

"Seperti seorang yang gagal memukul bola tenis dan terus berhenti bermain. Ia adalah mengarut jika anda fikirkan sebegitu," tambah beliau.

Terus berusaha

Mereka yang berjaya mengekalkan resolusi mereka sehingga enam bulan atau lebih berpeluang lebih cerah untuk mengekalkan usaha mereka sehingga akhir tahun.

John menegaskan, semangat sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran fizikal dan mental.

"Orang yang berharap kepada semangat semata-mata akan gagal lebih cepat dari orang lain.

"Resolusi dimulakan dengan bersedia, hargai diri sendiri dengan memberi pujian atau hadiah dan mencipta persekitaran yang sesuai dan menyokong perubahan yang anda cuba lakukan," jelas John.

Duncan bersetuju dengan pendapat tersebut dan menambah bahawa individu tidak sepatutnya berputus asa apabila gagal kali pertama.

"Memang susah untuk berubah, tetapi walaupun kecil macam perubahan tersebut, ia akan memberi kesan besar," akhiri Duncan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com