14,413 Guru Di N.Sembilan Terima Telefon YES Altitude


SEREMBAN – Seramai 14,413 orang guru di 317 buah sekolah dengan talian 4G 1BestariNet di Negeri Sembilan menerima Pelan Data 2GB bersama telefon YES Altitude.

Pengarah Pendidikan negeri Rusni Ab. Jalil berkata ia bertujuan memudah dan mempertingkat pengalaman pengajaran dan pembelajaran para guru.

Katanya pelan data ini boleh digunakan pada telefon pintar YES 4G LTE iaitu untuk rangkaian data LTE, dan semua peranti aktif jalur YES iaitu untuk rangkaian data jalur lebar.

“Pelan data guru 1BestariNet fasa 2 ini adalah pelan 4G LTE yang akan memberikan kuota 2GB rangkaian Internet bulanan LTE dan kuota 2GB data jalur lebar kepada semua guru di sekolah-sekolah penerima 1BestariNet 4G Zoom di seluruh Malaysia,” katanya pada majlis pengagihan Pelan Data Guru dan Peranti YES 4G peringkat Negeri Sembilan 2017 di sini, semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut dihadiri Pengarah YTL Communications Sdn Bhd Shahirul Amran.

1BestariNet adalah projek yang diinisiatifkan oleh Kementerian Pendidikan dan dilaksanakan dengan kerjasama YTL Communications.

Di bawah projek ini, sebanyak 10,000 buah sekolah rendah dan menengah di Malaysia akan dilengkapkan dengan akses Internet berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan sambungan Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pembelajaran bersepadu.

Rusni berkata dengan pemberian pelan data guru dan peranti YES 4G ini, guru-guru dapat berkongsi bahan pembelajaran dan pengajaran yang berkualiti serta pembelajaran di mana-mana sahaja untuk semua anak didik mereka.

Katanya majlis ini merupakan julung kali diadakan untuk memberi inisiatif dan galakan kepada guru-guru di negeri ini.

“Projek perkhidmatan 1BestariNet yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan bermatlamat untuk meningkatkan lagi kualiti pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah dengan memanfaatkan teknologi ICT dalam pendidikan.

“Semuanya terdapat 475 buah sekolah di Negeri Sembilan, tapi setakat ini 317 buah sekolah yang menerima pelan tersebut manakala bakinya akan menerima pelan itu secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Sementara itu, Shahirul berkata 1BestariNet fasa 2, merupakan kesinambungan fasa 1 dengan penambahbaikan perkhidmatan serta pengurusan yang lebih baik, bagi memastikan penyelesaian ICT yang disediakan berupaya memenuhi keperluan pengguna bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah.

Katanya guru haruslah berani menggunakan teknologi ICT dalam penyediaan bahan pembelajaran serta pendekatan ICT dalam pengajaran untuk menarik minat generasi Y agar menjadi lebih efektif dan relevan.

Katanya walaupun penggunaan servis ini adalah tanpa sekatan tetapi masih di bawah pemantauan oleh pihak Kementerian Pendidikan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com