Wartawan Wanita Di Kota Baru Terima Panggilan Ugutan Bom


KOTA BARU - Risau dengan panggilan ugutan bom yang diterima daripada individu tidak dikenali, seorang wartawan wanita di sini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baru pada 9 malam Khamis.

Wartawan media cetak berusia 36 tahun itu berkata, beliau sedang membuat liputan mengenai satu kes lemas di Badang di sini, sebelum menerima panggilan telefon daripada lelaki itu pada 5.50 petang.

Katanya, ugutan itu dibuat selepas suspek dipercayai marah susulan laporan berita mengenai ancaman bom di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa yang ditulisnya pada Rabu lepas dan disiarkan akhbar pada Khamis.

"Individu yang membuat panggilan itu membuat ugutan bertanya 'adakah awak yang buat liputan mengenai ugutan bom ke atas LTSIP? Jangan main-main dengan saya...nanti saya bom."

"Nombor telefon yang digunakan dipercayai dari sebuah pondok telefon awam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad mengesahkan menerima laporan terbabit dan siasatan sedang dijalankan. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com