UMNO Tidak Sempurna, Tapi Terbukti Lebih Baik Dari Pembangkang


KUALA LUMPUR - UMNO bukanlah merupakan sebuah parti yang serba sempurna, namun begitu parti tunjang keramat bangsa itu merupakan sebuah pertubuhan yang lebih baik berbanding parti-parti Melayu pembangkang yang lain.

Ahli Parlimen Pendang, Datuk Othman Abdul menegaskan bahawa hakikat tersebut perlu diakui oleh semua pihak termasuk pihak pembangkang itu sendiri kerana sejarah politik dan pentadbiran negara telah membuktikan fakta berkenaan adalah benar, tidak dapat disangkal.

"UMNO bukanlah sebuah parti yang serba lengkap, tetapi UMNO adalah parti yang lebih baik daripada parti-parti pembangkang yang lain, yang ada di dalam negara kita," kata beliau di pentas Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Berucap sebagai wakil Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan pencadang bagi membahaskan sokongan terhadap ucapan dasar Presiden UMNO usul di Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, semalam.

Tegasnya, fakta berkenaan terbukti sejak sekian lama UMNO menerajui kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadi tunjang kepada sistem politik dan pentadbiran negara meskipun dicabar oleh pihak pembangkang yang begitu rakus menagih kuasa.

Kata beliau, fakta juga menunjukkan bahawa UMNO tertubuh hasil dari perbincangan sebanyak 41 pertubuhan Melayu pada 1946 dan bukan lahir dari "tepi jalan" atau atas perasaan marah seperti parti lain.

"UMNO bukan ditubuhkan di tepi jalan, bukan ditubuhkan dengan perasaan marah.

"Kerana gagal menjatuhkan Datuk Seri Najib, mereka tubuhkan parti 'cap bunga raya', kami panggil parti 'cap bunga raya' di Kedah. Parti-parti pembangkang Melayu yang ada ini semuanya ditubuhkan atas hasil perasaan marah kerana cita-cita mereka tidak sampai," tegasnya.

Justeru itu katanya, penubuhan parti-parti Melayu pembangkang itu yang ditubuhkan atas dasar emosi negatif yang bersumberkan hasutan syaitan itu, maka tidak wajar sama sekali rakyat dibiarkan terus dipengaruhi parti-parti berkenaan.

"Kalau hanya atas perasaan marah, tidak ada dasar perjuangan yang tepat dan baik, maka apa perlunya rakyat beri sokongan pada parti-parti yang begini," tegas beliau. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com