Ummah Bermaruah Pasti Akan Pertahankan Agama


AKHBAR dalam talian, MailOnline pada 8 Disember lalu melaporkan bahawa sejumlah besar penghijrah meninggalkan agama Islam selepas tiba di Eropah.

Tindakan meninggalkan agama dikatakan lazim berlaku dalam kalangan penghijrah atau migran dari Iran dan yang berbangsa Kurdish, iaitu dari Iraq, Syria atau Turki selain Arab serta Afghan.

Laporan juga memetik pendedahan seorang pembantu imam di sebuah masjid di Stockholm bahawa mereka yang lari meninggalkan negara asal bertindak meninggalkan agama demi mendapatkan manfaat kewangan.

Majalah TIME keluaran September 2015 melaporkan seruan Pope Francis agar setiap individu, komuniti agama, dan gereja Katolik di Eropah mengambil pelarian Sy­ria sebagai anak dan keluarga angkat atas nama kasih sa­yang Jesus Christ dan gesaan agama.

Sebagaimana dilaporkan akhbar dalam talian, The Guardian pada 17 April lalu, dalam lawatannya ke Pulau Lesbos, Greece, Pope Francis sendiri membawa 12 orang pelarian Syria daripada tiga keluarga yang kesemuanya Muslim kembali bersama-samanya ke Vatican.

Tindakan Pope itu menyaksikan dirinya disanjung pelarian terbabit sebagai seorang penyelamat. Kebimbangan yang jelas bagi umat Islam ialah apakah kesan atau akibatnya kelak terhadap akidah dan pegangan agama kumpulan pelarian tersebut?

Kekalkah mereka dalam agama yang dianuti biarpun persekitaran dan masyarakat yang melingkungi kehidupan sudah jauh berbeza? Atau mereka bertindak menggadai agama? Apatah lagi dengan hilangnya peluang untuk mereka mempelajari dan mendalami ajaran agama mereka disebabkan lenyapnya ruang pembelajaran serta pendidikan yang pernah diperoleh suatu ketika dahulu?

Bantuan yang diberikan oleh dunia Barat yang tercermin melalui tindakan Pope Francis itu memberikan isyarat besar buat dunia Islam. Masyarakat Islam seluruhnya seakan dipaksakan menanggung aib dan penghinaan apabila hanya negara Islam tertentu yang bersedia menerima pelarian seagama.

Negara berkenaan terma­suklah Turki, Lebanon, dan Pakistan yang menerima lebih sejuta pelarian Syria selain Jordan, Iraq, dan Mesir.

Sebagaimana diketahui, negara seperti Iraq, Mesir, Lebanon, malahan Turki masih bergelut dengan kesan pepe­rangan serta revolusi selain konflik dan ancaman dalaman tertentu seperti siri serangan kumpulan pengganas seperti militan Daesh dan Kurdish.

Namun, negara yang tersenarai dalam 10 negara Islam terkaya di dunia seperti Qatar, Kuwait, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Arab Saudi, serta Oman tidak sama sekali menunjukkan ke­sediaan untuk menerima pelarian berkenaan.

Keengganan negara ini sehingga diungkap oleh Amnesty International sebagai memalukan, semakin mele­nyapkan imej Islam sebagai agama kasih sayang, persaudaraan, dan perdamaian.

Lebih memalukan kerana yang tergadai bukan sekadar nyawa tetapi agama atau akidah. Dengan kata lain, maruah ummah seluruhnya tergadai dek kegagalan mempertahankan akidah saudara seagama.

Al-Quran menekankan tanggungjawab besar memelihara agama melalui ayat;
“Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.” (Surah al-Syura 42 : 13).
Pemeliharaan teguh akidah dan pegangan agama berulang kali di­ingatkan pula oleh Nabi SAW, termasuklah dalam Khutbah Terakhir Baginda pada 10H. di Lembah ‘Uranah, Bukit Arafah. Antara lain Baginda mengingatkan;
“Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah pada bulan Ramadan, tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu dan tunaikanlah ibadah haji sekiranya kamu berkemampuan.”
Malah Baginda turut memberikan amaran yang berikut;
“Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Ia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara yang kecil.” 
Sebagai seorang Rasul yang dikurniai pelbagai bentuk mukjizat dan kelebihan, maka bukanlah sulit bagi Baginda untuk berupaya melihat kesudahan nasib atau keadaan yang akan dilalui umat Baginda pada akhir zaman.

Bagi negara kita Malaysia, kedaulatan dan kepentingan agama Islam serta institusinya jelas terpelihara melalui peruntukan-peruntukan tertentu dalam Perlembagaan. Kelebihan dan keistimewaan yang masih berada dalam genggaman ini seharusnya disyukuri serta dipertahankan.

Apatah lagi dengan mengambil iktibar daripada apa yang dideritai oleh saudara seagama kita yang dilanda pelbagai bentuk ujian dan bencana; peperangan, krisis kemanusiaan, kemelut dalaman negara yang tidak terkawal dan sebagainya.

Dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-XV Sultan Muhammad V baru-baru ini, seluruh rakyat dapat menyaksikan sumpah suci yang dilafazkan oleh Seri Paduka Baginda;

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi, maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia. Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam.”

Sumpah berasaskan nama Allah SWT yang juga dikatakan sumpah negara itu bukan sahaja memikulkan tanggungjawab yang besar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi melaksanakan sumpah tersebut.

Malah, turut memikulkan tanggungjawab yang sama kepada segenap pihak yang terlibat dalam urusan pentadbiran serta pemerintahan negara. Hal ini disebabkan Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 39 memperuntukkan, “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong.”

“Terletak hak” bermaksud pemilikan kuasa eksekutif atau pelaksana adalah pada jawatan Yang di-Pertuan Agong meskipun kuasa tersebut pada umumnya dilaksanakan oleh penjawat awam. Justeru, menurut amalannya segala urusan kementerian atau agensi kerajaan dilaksanakan berasaskan label atau frasa “Urusan Seri Paduka Baginda”.

Al-Quran merakamkan jaminan Allah SWT terhadap bantuan bagi hamba-hamba-Nya yang melaksanakan tugas kudus lagi mulia untuk membantu agama-Nya, iaitu;
“Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam)….” (Surah al-Hajj 22:40).
Dengan jaminan ini, maka seharusnya segenap tenaga digembleng bagi meneguhkan dan mempertahankan agama. Selain itu, turut disedari bahawa maruah ummah seluruhnya terletak pada keikhlasan dan ke­sungguhan melaksanakan ama­nah besar ini pada zaman yang serba mencabar lagi menguji kini.

*WAN ROSLILI ABD. MAJID, PENULIS ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com