Tular Limpahan Air Di Cameron Highlands Insiden Lama - Shahidan Kassim


IPOH – Rakaman limpahan air deras dari lereng bukit di Kilometer 16, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang menjadi tular menerusi media sosial semalam adalah insiden lama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim ketika dihubungi Bernama di sini lewat malam Ahad berkata beliau dimaklumkan insiden itu berlaku pada tahun 2014.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak, Leftenan Kolonel (PA) Zairil Anuar Zulmuji berkata pihaknya telah membuat pemeriksaan dengan pelbagai agensi.

Ini termasuk daripada pihak Jabatan Kerja Raya, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenai rakaman tular berkenaan.

“Tetapi tiada mana-mana pihak berkenaan yang menerima laporan mengenai kejadian (limpahan air) itu yang didakwa berlaku semalam (Ahad),” katanya kepada Bernama.

Video limpahan air selama tujuh saat itu menjadi tular di media sosial mulai petang Ahad berikutan secara kebetulan hujan lebat di Cameron Highlands sejak awal pagi.

Ia menyebabkan kawasan peranginan popular di Pahang itu mengalami beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir kilat khususnya di Tanah Rata. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com