Tiada Pertemuan Rasmi Fattah, Keluarga Saya - Neelofa


KUALA LUMPUR – Pelakon Neelofa menjelaskan tiada sebarang pertemuan rasmi untuk memperkenalkan Fattah Amin dengan pihak keluarganya seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Neelofa atau Noor Neelofa Md Noor, 27, berkata, ia hanyalah salah faham dan pertemuan yang dimaksudkan oleh aktor itu kepada pihak media adalah perjumpaan secara tidak rasmi di majlis-majlis umum.

“Terdapat banyak salah faham pada laporan sebelum ini bahawa dia (Fattah) sudah bertemu keluarga saya. Dia bertemu keluarga saya bukan dalam satu majlis peribadi antara dia dengan keluarga saya.

“Beberapa kali pertemuan mereka di majlis-majlis perkahwinan dan jamuan makan sahaja. Bila orang salah tafsir kenyataan itu ia akan jadi jauh daripada realiti sebenar berbanding apa yang terjadi,” ujarnya.

Fattah dan Neelofa rapat menerusi drama Suri Hati Mr Pilot. Foto dari Instagram Neelofa.

Neelofa ditemui pada majlis pelantikkannya sebagai duta Kad Muslimah Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di sini, Selasa.

Pengacara Meletop ini menjelaskan tindakannya memuat naik tentang penjelasan hubungannya di laman sosial Instagram berkaitan kenyataan Fattah Amin baru-baru ini.

Fattah dalam kenyataan minggu lalu dilaporkan sudah bertemu dengan keluarga Neelofa dan meminta restu untuk berkawan rapat.

Bagaimanapun, Neelofa berkata, keluarganya memahami dan tidak pernah mencampuri perkara tersebut.

“Ibu dan ahli keluarga lain faham dan dia orang tidak marah atau bertanya banyak tentang hal itu, mereka tahu saya boleh kendalikan perkara ini dengan baik. Cuma kalau saya berdiam ayah saya akan call tanya sama ada saya dalam keadaan baik atau tidak.

“Saya kesal ramai yang mula memberi andaian baik dan kurang baik serta tidak sedap didengar berkaitan perkara itu,” ujarnya.

Sementara itu, Neelofa berkata, dia dan keluarganya akan berangkat tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah pada 27 Disember ini.

Dalam perkembangan lain dia kini sedang sibuk membuat perancangan menghasilkan Naelofa Hijab untuk sambutan Hari Raya pada tahun hadapan.

Terdahulu, Neelofa memberi komen wujud orang ketiga dalam hubungan rapat dia dengan Fattah.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut tentang perkara berkenaan. Dia juga berharap peminat mendoakan yang terbaik dalam apa juga yang dilakukan selepas ini.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com