Tiada Akaun Media Sosial, HattanTak Kisah Dilabel Kolot


PETALING JAYA - Penyanyi Datuk Hattan tidak berminat untuk membuka akaun Facebook atau Instagram kerana merasakan ia penuh dengan perkara negatif berbanding positif.

Hattan atau Mohd Shukri Shahabuddin, 52, berkata, dia juga tidak kisah sekiranya dikatakan tidak mengikut perubahan zaman kerana itu adalah pendiriannya.

"Saya memang tiada Facebook atau Instagram walaupun ramai beranggapan seorang artis perlu ada akaun media sosial.

"Jika ada kata saya kolot dan tidak mengikut perkembangan semasa itu adalah hak mereka kerana keputusan itu adalah pendirian saya," katanya.

Menerusi pemerhatiannya, Hattan berkata, media sosial pada hari ini dilihat bukan untuk menyatukan masyarakat secara maya sebaliknya menjadi medan pergaduhan dan tempat menyebarkan fitnah.

"Apa yang saya lihat, media sosial sudah menjadi tempat untuk menyebarkan fitnah sehingga kadang-kala mampu membuat orang panik dan bimbang.

"Lihat sahaja berapa ramai artis yang menjadi viral dan dikatakan sudah meninggal dunia oleh fitnah pihak tidak bertanggungjawab?

"Jika hendak viralkan sesuatu perkara pun biarlah benda yang betul dan mendatangkan manfaat dan bukannya main muat naik status atau kongsi apa yang orang lain tulis," ujarnya.

Dalam pada itu, Hattan turut menasihatkan golongan artis agar tidak terlalu taksub dengan media sosial sehingga memudaratkan diri.

Katanya, golongan artis sepatutnya menjaga nilai eksklusif diri mereka dan menggunakan teknologi dengan bijak.

"Saya kadang-kadang tidak faham, nak pergi ke tandas pun hendak beritahu semua orang dan muat naik gambar.

"Pada saya kuasa media sosial itu memang penting untuk artis tetapi mereka juga perlu menjaga nilai eksklusif diri mereka.

"Saya faham ada ramai di antara mereka yang terikat sebagai duta produk yang memerlukan mereka sentiasa mengemaskini perkembangan tetapi jangan keterlaluan sehingga mampu merosakkan reputasi sendiri," katanya.

Atas dasar itu juga, Hattan berkata, dia kini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyebarkan maklumat tentang isu viral dan fitnah di laman sosial.

Kata Hattan, buat permulaan program berkenaan diadakan di Sabah ini menerusi Kembara Bijak Sabah dan ia akan diteruskan ke seluruh negara.

"Kempen ini diadakan bertujuan untuk mendidik pengguna laman sosial agar lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat agar ia tidak disalah guna.

"Buat permulaan kami mulakan kempen ini di Sabah dan seterusnya ia akan diteruskan ke seluruh Malaysia," ujarnya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com