Suraya Kesal Rakyat Sering Jadi Mangsa Putar Belit Di Media Sosial


KUALA LUMPUR - Rakyat di negara ini sering menjadi mangsa putar belit pihak tertentu apabila merek sering disajikan dengan penyebaran maklumat yang tidak benar dan tohmahan menerusi media sosial.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob berkata, keadaan itu telah mencemari kredibiliti media sosial itu sendiri berbanding tujuan sebenarnya yang sepatutnya menjadi kaedah menyebarkan maklumat yang tepat dan bermanfaat kepada semua.

"Namun masalah itu berlaku bila rupanya banyak fakta-fakta yang dikemukakan itu sering diputar belit.

"Hinggakan media sosial ini menjadi tempat rakyat membaca fitnah berbanding menjadi tempat menyebarkan maklumat yang benar," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com di Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMNO 2016 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Jelas Suraya, beliau sendiri mengikuti perkembangan media sosial di negara ini dan sering menilai kebenaran yang cuba disampaikan oleh para pengguna.

Katanya Exco Kerajaan Negeri Kedah itu, biarpun terlalu banyak maklumat yang tersebar di media sosial, namun ia tidak memberi jawapan bagi segala perkara dan rakyat perlu bijak untuk percaya pada fakta yang sahih berbanding putar belit yang cuba mempengaruhi mereka.

"Saya fikir, media sosial itu tidak memberi jawapan kepada segala-galanya. Dulu pun kita tak gunakan media sosial habis-habisan pun.

"Kita mendengar mereka.. tapi kita tengoklah sama ada apa yang mereka katakan itu perkara yang benar ataupun tidak. Kita sentiasa mendengar mereka," ujar beliau lagi.

Optimis untuk mengekalkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah, Suraya menjelaskan bahawa antara usaha yang dilakukan untuk menyekat dakyah palsu itu dari terus membohongi rakyat, beliau sering mendekati mereka di akar umbi untuk menjelaskan fakta sebenar.

"Kita perlu sentiasa bersama kumpulan sasar kita iaitu pengundi, itu yang sering saya lakukan," katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com